KHODI serlah sisi berbeza dalam lagu baharunya, Dia Bagiku.
KHODI serlah sisi berbeza dalam lagu baharunya, Dia Bagiku.
Georgie Joseph

SEMAKIN meraih perhatian peminat tempatan, kerancakan karier muzik penyanyi, Khodi nampaknya semakin terserlah.

Dia jelas tidak mahu melepaskan ruang depan mata untuk membuktikan bahawa dirinya mampu pergi jauh dalam gelanggang seni.

Selepas melancarkan lagu Lenggang baru-baru ini, Khodi tampil pula dengan pertaruhan terbarunya berjudul Dia Bagiku.

Mendapat sentuhan komposer Farouk Rahman dan lirik hasil tulisannya sendiri, Khodi mencabar diri untuk membawakan lagu balada pertamanya.

Lagu ini juga adalah runut bunyi untuk drama Single Terlalu Lama arahan Ungku Ismail Aziz yang turut membintangi drama terbitan Radius One Sdn Bhd itu.

Selain Ungku Ismail, drama ini turut membariskan pelakon Riz Amin, Anas Ridzuan, Shah Kimin, Julia Farhana, Dayana Roza, Lia Natalia, Azar Azmi, Noorkhiriah, Zila Bakarin, Norman Hakim dan Uchee Fukada.

Apa yang pasti, isi penceritaan Dia Bagiku cukup menarik.

"Saya diberi peluang untuk menulis lirik lagu ini yang mengisahkan seorang wanita dilanda keperitan cinta tiga segi. Watak Jasmine dalam drama Single Terlalu Lama memberi inspirasi kepada saya untuk menceritakan mengenai kisah suka dan duka yang dialaminya sewaktu menjalin persahabatan dengan dua lelaki.

"Sebenarnya, dua lelaki itu bukan pilihan terbaik buat Jasmine. Dia terpaksa membuat pilihan yang tulus dari hatinya. Jadi, lagu ini adalah luahan perasaannya dalam membuat pilihan itu. Mesej ingin saya sampaikan menerusi lagu ini adalah jangan mudah putus asa dalam mencari cinta. Begitu juga memilih kekasih haruslah kena tulus dan ikhlas," katanya.

Menurut Khodi, kekuatan Dia Bagiku adalah pada alunan melodi mendayu yang dilengkapkan pula dengan komposisi susunan muzik padu.

Istimewanya, lagu ini disuntik elemen mimpi melayang ala-ala kisah dongeng yang mampu membuai perasaan pendengar. Lagu ini tentunya akan meninggalkan kesan yang mendalam kepada pendengar.

Memandangkan ia lagu balada sulung nyanyiannya, Khodi tidak menafikan berdepan cabaran sewaktu menyiapkan rakaman Dia Bagiku.

Namun, dia berazam untuk tidak mengalah dengan perasaan gementar yang menyelubungi dirinya dan memberikan sepenuh jiwa kepada lagu ini.

Paling penting, dia berusaha bermain emosi demi memastikan jiwa lagu ini hidup.

"Memang saya gementar dan sedikit gemuruh sebenarnya sewaktu sesi rakaman. Untuk dapatkan 'feel' ketika menyanyikan lagu ini pun tidak mudah. Saya kuatkan semangat dan sahut cabaran ini dengan belajar dan memperhalusi lagi seni nyanyian saya untuk memantapkan penyampaian lagu dalam genre yang masih asing ini.

"Adalah penting untuk menyampaikan perasaan suka dan duka dalam liriknya. Harapnya saya berjaya menjiwai emosi suka dan duka dalam dendangan saya. Alhamdulillah, iringan muziknya juga sangat sesuai dengan tona suara saya. Saya bersyukur dan berterima kasih atas dorongan padu Farouk dan tunjuk ajar Afif Tirmizie selaku penerbit vokal," katanya.

Selain mencapai corak vokal mendayu dan berbeza untuk lagu ini, Khodi turut seronok apabila mempelajari banyak perkara baharu sepanjang pembikinannya.

Ia sekali gus membuatkan dia berazam supaya dapat terus menonjolkan sisi berbeza kemampuannya terutama dalam nyanyian kepada pengikut muzik tempatan.

"Saya masih muda banyak lagi harus dipelajari. Kalau boleh, tidak mahulah terhad kepada satu genre sahaja. Saya ingin cuba nyanyikan apa saja genre selain bereksperimen dengan berbagai jenis melodi dan cara nyanyian. Besar harapan saya agar pendengar di luar sana terhibur dan tidak jemu untuk mendengar serta menghayati lagu Dia Bagiku," katanya.

Penyanyi kelahiran Kuala Lumpur ini memulakan karier muziknya sekitar dua tahun lalu.

Penuntut jurusan Diploma Muzik di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) ini turut menyertai program Lagu Cinta Kita 2 (LCK2).

Memperjuangkan muzik soul dan R&B, dia menjadikan Datuk Sheila Majid dan Dayang Nurfaizah sebagai inspirasi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 April 2021 @ 6:21 AM