TASH Yong. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
TASH Yong. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Norhayati Nordin

JIKA sebelum ini, dia hanya mampu meyuarakan hasrat untuk muncul dengan lagu solo, nampaknya ia sudah berhasil.

Tanggal 1 Februari lalu, pelakon Tash Yong, 30, akhirnya melancarkan lagu solo pertamanya berjudul Lepas.

Lagu Lepas yang mengetengahkan genre balada, hasil ciptaan sepenuhnya komposer baru dikenali sebagai Zah Amirul.

Mengulas lagu itu, Tash berkata, dia tertarik merakamkan lagu Lepas kerana melodi dan liriknya menyentuh jiwa.

“Lagu ini (Lepas) sangat dekat dengan hati saya. Malah, ketika merakamkannya saya berasa sangat selesa.

“Selain itu, kejayaan merakamkan lagu ini amat bermakna buat saya kerana apa yang diimpikan sudah jadi kenyataan.

“Bukan mudah untuk saya merealisasikan hasrat memiliki lagu solo sendiri kerana dipendam begitu lama.

“Saya agak sibuk dengan aktiviti lakonan. Apatah lagi, proses mencari lagu yang sesuai vokal dan kena dengan jiwa memerlukan masa,” katanya.

TELITI cari lagu sesuai vokal. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
TELITI cari lagu sesuai vokal. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

Menurut Tash Yong, sikapnya yang teliti untuk mendapatkan karya lagu bagus menyebabkan dia enggan terburu-buru.

“Saya tidak suka bekerja secara tangkap muat. Asalkan ada lagu, cukuplah dan rakam segera.

“Untuk saya, lebih selesa teliti dalam membuat pemilihan kerana paling utama adalah kualiti dalam lagu,” katanya.

Tash Yong atau nama sebenar Nur Natasha Shazlia Rosli adalah anak sulung komposer berpengalaman Rosli Selasih.

Pernah dikenali menerusi drama Dia dan Menantu Ting Tong di TV3 berkata, minatnya pada nyanyian sudah disedari sejak kecil.

“Ayah pun seorang komposer dan sudah mencipta banyak lagu. Jadi, seni sudah sebati dalam keluarga saya.

“Alhamdulillah, pembabitan saya dalam bidang nyanyian ini pun mendapat restu dan galakan daripada ayah.

“Saya berharap percubaan pertama melalui lagu solo bejudul Lepas ini berjaya dan diterima baik pendengar muzik masa kini.

“Terus terang, saya sudah melakukan sehabis baik untuk merakamkan lagu Lepas. Semoga mesra radio nanti,” katanya.

Berbicara juga perkembangan kerjaya lakonannya, Tash berkata, dia masih mendapat tawaran berlakon dan akan membintangi

drama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Februari 2020 @ 7:00 AM