SYED Hussian (dua dari kiri) bersama Rafiq (dua dari kanan) melancarkan Kempen Tahun Baharu Cina 2023 Media Prima Berhad. Turut sama, Michael (kiri) dan Kevin. FOTO Hairul Anuar Abdul Rahim
SYED Hussian (dua dari kiri) bersama Rafiq (dua dari kanan) melancarkan Kempen Tahun Baharu Cina 2023 Media Prima Berhad. Turut sama, Michael (kiri) dan Kevin. FOTO Hairul Anuar Abdul Rahim
Ridzuan Abdul Rahman


Suasana sambutan sesuatu perayaan seakan-akan tidak bermakna tanpa pengisian program menarik di televisyen.

Untuk itu, sebagai menyambut kedatangan Tahun Baharu Cina 2023, Media Prima Berhad (MPB) menerusi saluran 8TV melancarkan kempen #LoveYouTu bagi menyemarakkan perayaan ini.

Pelbagai program menarik disusun untuk menemui penonton termasuk program komuniti membabitkan masyarakat luar bandar.

Ketua Pegawai Operasi 8TV, Kevin Foo berkata, kempen #LoveYouTu bertepatan dengan misi untuk menyebarkan keriangan dan rasa cinta dalam kalangan masyarakat sempena kehadiran Tahun Arnab.

"Perkataan Tu maksudnya arnab dalam bahasa Cina. Jadi, #LoveYouTu kami ambil 'gesture' arnab seperti ibu dengan anak.

"Orang selalu sebut 'i love you baby' dan akan dijawab 'i love you too'. Ini masanya untuk sebarkan kasih sayang.

"Negara kita berdepan banyak cabaran antaranya ekonomi, Covid-19 dan tahun 2023 diharap memberikan sesuatu yang baharu. Ini yang dimaksudkan sebarkan kasih sayang," katanya.

Menurutnya, ada 11 program baharu dihasilkan untuk Tahun Baharu Cina terutama tiga genre paling penting iaitu drama, program masakan dan program Feng Shui.

"Antara ketiga-tiganya yang paling penting ialah drama kerana 8TV ada drama sama. Ia strategi yang sama setiap tahun. Ada dua drama iaitu Mission Homecoming lakonan Wilson Lee, Chen Keat Yoke, Chee Jun Cherng, Yong Zhen Ning, Mayjune Tan, Sherlyn Seo, Eric Chen, Loh Chen Yuk yang bermula 9 Januari ini, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 9 malam.

"Selain itu ialah drama My Future Sons-In-Law yang mendapat sokongan daripada pengiklan. Ia sangat bagus untuk bawa industri ke depan.

"Tahun Baharu Cina biasa kami hasilkan drama berkenaan keluarga. Ini ketikanya untuk luangkan masa dengan keluarga," katanya.

Menurutnya, 8TV juga akan menerapkan kempen yang diperkenalkan menerusi program yang akan disiarkan, termasuk penganjuran acara padang, CNY Fun Together yang bakal menyaksikan mereka menjelajah ke empat negeri iaitu Selangor, Kedah, Johor dan Pahang.

"Kita tak pernah terfikir Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjadikan keadaan sebaliknya. Wang tak dapat beli segala-galanya. Keluarga dan kesihatan sangat penting.

BARISAN personaliti TV, penyampai radio dan selebriti popular yang menjayakan kempen #LoveYouTu. FOTO Hairul Anuar Abdul Rahim
BARISAN personaliti TV, penyampai radio dan selebriti popular yang menjayakan kempen #LoveYouTu. FOTO Hairul Anuar Abdul Rahim

"Menerusi penganjuran acara padang yang bakal dijalankan, selain beramah mesra dengan komuniti, kami juga akan mengadakan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan mengunjungi rumah kebajikan orang tua dan anak yatim.

"Acara padang ini akan dirakamkan dan disiarkan di 8TV supaya mereka yang terbabit dapat merasai keseronokan dan menjadikannya sebagai kenangan manis dalam hidup," katanya.

Majlis pelancaran kempen Tahun Baharu Cina 2023 #LoveYouTu disempurnakan Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid di sebuah hotel di ibu negara, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Rafiq Razali dan Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima & Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Omnia, Datuk Michael Chan, wakil penaja, selebriti dan personaliti 8TV.

Pada majlis sama, 8TV turut memperkenalkan 24 CNY Buddies 2023 terdiri daripada personaliti TV, penyampai radio dan selebriti popular yang akan menjayakan kempen itu bersama.

Mereka adalah Owen Yap, Ong Ching Yee, Rickman Chia, Orange Tan, Tan Ley Teng, Natalie Ng, Ash Lu, Jan Chin, Desmond Tey, Royce Tan, Angeline Ooi dan Hana Teo.

Turut serta, Tan Chia Yong, Emerson Liang, X Long Ngoi, Charlotte Seow, Emily Chua, Choo Yee Jie, Houson Ng, Bryan Matthew, Victoria Ng, Minsley Chin, Loh Chen Yuk dan Gino Wong.

Tetamu turut diperdengarkan dengan dua lagu, Ho Li Man Fen Love You Tu dan Reunion Dinner 2023 yang dicipta khas sempena perayaan itu.

Kempen #LoveYouTu turut disokong rakan penaja seperti AEON, Ensure Gold, Nivea, Foodpanda, Ginvera, Carnation, Jasmine, Kinohimitsu, Meta Academy, Kedai Buku Popular, OXWHITE dan Durio.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2023 @ 6:09 AM