PEMINAT hadir menyaksikan konsert Ungu.
PEMINAT hadir menyaksikan konsert Ungu.
Najiy Jefri


KEBANJIRAN penyanyi atau band baharu dari Indonesia tidak pernah melunturkan perasaan cinta dan sayang peminat tempatan buat kumpulan popular dari Indonesia, Ungu.

Buktinya Konsert Mayapada Ungu Live In Kuala Lumpur 2024 - 30 Hits Timeless yang berlangsung di Megastar Arena Kuala Lumpur pada Ahad lalu berjaya menghimpunkan lebih 5,000 penonton.

Menyaksikan kehadiran peminat yang mengenakan busana berwarna ungu seawal jam 5 petang sebagai tanda kesetiaan mereka terhadap band yang sudah hampir 28 tahun berada dalam industri muzik, Ungu nyata terus berjaya menambat hati dan menjadikan konsert itu 'full house'.

Malah setiap kali Ungu mengadakan konsert di Malaysia, tidak pernah acara itu gagal mendapat sambutan sehingga setiap ahli kumpulan itu berasa hairan dengan kesetiaan peminat di Malaysia.

"Saya dan ahli lain sentiasa tertanya-tanya peminat di Malaysia tidak pernah henti menyebut nama Ungu.

"Walaupun kehadiran kami dalam acara konsert boleh dikatakan sudah lebih 10 kali, tapi anda semua tetap menyokong.

"Jadi tiada hal yang lebih indah selain cinta kami untuk Malaysia dan Kuala Lumpur," kata Pasha selaku vokalis kumpulan itu di hadapan ribuan peminat yang hadir.

Tambahnya, setiap kali mendapat jemputan mengadakan konsert di Malaysia dia tidak akan menolak meskipun sibuk dengan tuntutan kerja lain.

"Setiap kali dapat panggilan daripada pejabat yang memaklumkan kami perlu ke Malaysia untuk temui peminat, saya akan terus jawab okey tanpa fikir panjang.

"Walaupun mereka bimbang saya sibuk dengan tuntutan kerja, tapi sebab Kuala Lumpur saya pasti okey," katanya.

MENYAJIKAN 30 buah lagu dalam persembahan.
MENYAJIKAN 30 buah lagu dalam persembahan.

Istimewanya lagi mengenai konsert Mayapada Ungu Live In Kuala Lumpur 2024 - 30 Hits Timeless, Pasha memberitahu, konsert itu melakar sejarah baharu buat Ungu apabila menyajikan 30 buah lagu dalam sebuah acara persembahan.

Katanya, sebelum ini kumpulan itu hanya mampu menghiburkan peminat sekitar 20 lagu, namun buat julung kalinya mereka membuat persembahan yang padat dengan lagu-lagu hits Ungu.

Konsert yang dianjurkan oleh Icon Entertainment dan Ake Group itu menyaksikan Ungu menghiburkan peminat menerusi lagu malar segar seperti Cinta Dalam Hati, Kekasih Gelapku, Demi Waktu, Bila Tiba, Tercipta Untukmu dan Andai Ku Tahu.

Selain Pasha selaku vokalis, Ungu yang ditubuhkan pada tahun 1996 di Jakarta turut dianggotai oleh Enda (gitar), Oncy (gitar), Makki (bass) dan Rowman (dram).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2024 @ 6:30 AM