RANDY Pangalila
RANDY Pangalila
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Pelakon berkaliber Indonesia, Randy Pangalila, 32, tidak menganggap lakonannya sebagai Ustaz Jafar, seorang muslim dalam filem Qodrat arahan Charles Gozali, sesuatu yang sensitif kerana dia beragama Kristian.

Randy atau nama sebenar Randy Dionisius Pangalila berkata, dia seorang pelakon dan hanya menjalankan tanggungjawab membawa watak Ustaz Jafar itu mengikut skrip dan jalan cerita yang ditulis.

"Di dalam set penggambaran filem Qodrat, memang saya adalah Ustaz Jafar. Tapi, di luar lokasi dan realiti sebenar, saya tetap Randy Pangalila. Ia adalah dua orang yang berbeza dan saya yakin penonton boleh menerima serta memahaminya.

"Sebagai Randy Pangalila, pastinya saya ada pegangan agama dan kepercayaan sendiri. Namun, di dalam lakonan sudah semestinya saya boleh menjadi sesiapa saja mengikut kehendak sesuatu watak itu," katanya ditemui pada sidang media virtual yang diatur Astro Shaw, baru-baru.

Randy hadir bersama Charles dalam temubual khas dengan media Malaysia bersempena promosi filem Qodrat yang kini ditayangkan di pawagam tanah air mulai 24 November lalu.

Randy berkata peminatnya di Indonesia juga faham dan tidak menjadikan berlainan pegangan agama itu sebagai isu. Katanya, di dalam filem Qodrat, dia juga tidak menyebut sebarang hadis dan  membaca potongan ayat Al-Quran.

"Lagi pula, watak Ustaz Jafar yang saya lakonkan itu seorang individu bersifat antagonis atau jahat. Dia (Ustaz Jafar) adalah orang yang mengejar duniawi dan tamakkan harta dengan menggunakan pengaruhnya.

"Saya harap tiada apa yang harus disensasikan dengan mengaitkan agama. Saya seorang pelakon dan itu kerjaya saya. Apa yang saya buat kerana tuntutan kerja sudah dipersetujui dan tidak melanggar batas sensitiviti," katanya.

Selain Randy, filem Qodrat yang bergenre seram itu dibintangi Vino G Bastian, Marsha Timothy, Maudy Effrosina, Keanu Azka Briansyah dan Jason Bangun. Karya ini sudah ditayangkan di Indonesia pada 27 Oktober lalu.

Randy yang sudah 15 tahun berkecimpung dalam karier seni, mula dikenali di Malaysia menerusi beberapa sinetron lakonannya seperti Alisha, Cinta Fitri, Cinta Kirana, Hafizah, Putih Merah dan Nada Cinta, selain pernah membintangi drama arahan serta terbitan Michael Ang bersama pelakon Elfira Loy.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Disember 2022 @ 6:38 PM