Adira. FOTO File NSTP
Adira. FOTO File NSTP
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Penyanyi Adira Suhaimi 'mengikat peranakan' iaitu kaedah menghalang dari berlakunya persenyawaan di antara benih telur dan sperma atas saranan serta nasihat doktor.

Setelah empat kali melahirkan anak menerusi kaedah pembedahan, Adira atau pemilik nama lengkap Siti Adira Suhaimi, 31, mengambil pendekatan untuk menggunakan kaedah alternatif itu demi kesihatan dirinya.

"Jika diikutkan hukum kaedah itu adalah haram, namun pendekatan yang diambil atas nasihat doktor sendiri. Sekiranya saya hamil lagi, boleh memudaratkan kesihatan.

"Ini kerana saya sudah empat kali melahirkan anak dengan kaedah pembedahan, jadi berisiko untuk pada masa akan datang. Jadi saya mengambil pendekatan untuk mengikut saranan doktor.

"Alhamdulillah… Saya sudah dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu dua perempuan dan dua lelaki yang melengkapi rumah tangga saya. Jadi saya bersyukur dengan rezeki dan kurniaan Nya," kata Adira ketika ditemui media pada majlis anjuran Body Flasshh di sebuah hotel di ibu negara semalam.

Terdahulu, pelantun lagu Ombak Rindu itu pernah meluahkan hasrat untuk 'menutup kilang' selepas kelahiran cahaya mata keempatnya.

Selain itu, kehamilan ini juga membuktikan rumah tangga dibinanya bersama Datuk Seri Adnan Abu di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 masih utuh, biarpun hubungan pasangan ini pernah dilaporkan berantakan.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat cahaya mata, Anggrek, 5, Asan, 4, Anggun, 3 dan Ayoub.

"Apa yang penting ketika ini adalah anak-anak dan saya memilih untuk menepikan segala perkara negatif lain. Pengalaman dan cabaran hidup memang banyak mengajar saya untuk menjadi lebih dewasa.

"Saya juga lebih matang dalam segala aspek terutama tindakan dan sebagainya. Buang segala yang negatif, fokus saya hanyalah untuk perkara yang positif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2022 @ 11:44 AM