Najiy Jefri


Sepang: Kelibat penerbit Gayatri Su-lin Pillai di Kompleks Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini mencuri perhatian apabila hadir menemani pelakon, Zul Ariffin yang didakwa memuat naik kandungan bersifat sumbang dalam media sosial.

Gayatri yang dilihat memakai blazer berwarna putih, manakala Zul mengenakan sut kelabu gelap tiba pada jam 8.10 pagi dengan menaiki Toyota Vellfire berwarna hitam, dan diiringi oleh peguam.

Ketika prosiding dijalankan sekitar jam 9 pagi, Gayatri turut berada di dalam bilik Mahkamah Sesyen Jenayah 2 bagi mendengar perbicaraan yang berlangsung kira-kira sejam.

Malah, sebaik selesai prosiding yang dijalankan, Gayatri dilihat berbual dengan Zul di luar bilik mahkamah terbabit bersama peguam sebelum penerbit itu beredar.

Kemudian Zul dibawa peguam dan pembantu peribadinya untuk menyelesaikan bayaran denda yang dikenakan terhadapnya.

Ketika menunggu proses bayaran dibuat, Zul memberi kerjasama baik kepada rakan-rakan media yang hadir seawal jam 7.30 pagi apabila menjawab segala soalan yang diajukan.

ZUL Ariffin mengaku bersalah di mahkamah atas kesalahan dibawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. FOTO Mohd Fadli Hamzah
ZUL Ariffin mengaku bersalah di mahkamah atas kesalahan dibawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. FOTO Mohd Fadli Hamzah

Terdahulu, Zul atau nama sebenarnya, Zulkifli Ariffin, didenda RM30,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan memuat naik kandungan bersifat sumbang dalam media sosial pada 18 Mac lalu.

Zul membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Noorhisham Mohd Jaafar.

Pertuduhan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada 18 Mac lalu, Zul memuat naik babak ghairah dalam drama lakonannya berjudul Perempuan Itu di Instagram.

Video memperlihatkan Zul mendukung pelakon, Siti Hariesa dari depan dianggap keterlaluan dan tidak sesuai untuk tayangan masyarakat di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2022 @ 1:18 PM