Cyberjaya: Seorang lelaki mengaku salah atas pertuduhan menggunakan laman blog sebagai medium untuk memberikan kandungan yang bersifat lucah.

Pertuduhan terhadap Baderol Sham bin Muhamad, 37, dilakukan di Mahkamah Sesyen (4) Alor Setar, Kedah, 21 Jun.

Baderol Sham yang mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan yang dibacakan oleh hakim, Wan Rusita binti Md Lazim. Mahkamah telah menjatuhkan hukuman denda RM4,000.00 dan sekiranya gagal membayar denda akan dikenakan 6 bulan penjara bagi kesalahan pertama mengikut Seksyen 211 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Bagi kesalahan kedua mengikut Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan, dia dijatuhkan hukuman denda RM1,000.00 dan penjara (1) satu hari.

Dia dibawa ke Penjara Pokok Sena, Kedah untuk pelaksanakan hukuman itu.

Pesalah mengemukakan rayuan secara lisan dan memohon Mahkamah untuk menjatuhkan hukuman yang paling minimum kerana dia hanya bekerja sendiri dengan berpendapatan RM1,000 sebulan.

Selain itu, dia juga telah insaf dengan perbuatannya.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sudah menjalankan siasatan mengenai kes ini berdasarkan aduan yang diterima oleh Biro Aduan MCMC.

Berdasarkan siasatan, kandungan lucah di dalam blog tersebut telah dimuat naik oleh pemilik akaun `Putera Katok’ yang dimiliki oleh Baderol Sham.

Mahkamah mengarahkan barang kes diserahkan kepada MCMC untuk dilupuskan mengikut Seksyen 260 (2) AKM 1998.

Menggunakan laman blog bagi tujuan memberi kandungan yang bersifat lucah dengan niat untuk mengganggu mana-mana orang merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 211 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Jika sabit kesalahan, denda tidak melebihi RM50,000 atau hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2015 @ 9:11 PM