Wanna Ali.
Wanna Ali.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pelakon Wanna Ali, 21, menyifatkan kejayaan sebuah drama itu 'meletup' atau sebaliknya di hati penonton bergantung kepada tuah sebagaimana populariti hangat diraih drama Melur Untuk Firdaus lakonan Meerqeen dan Anna Jobling, baru-baru ini.

Wanna atau nama sebenarnya, Nor Syazwana Mohd Ali berkata, sebagai pelakon apa yang dilakukannya adalah cuba membawakan watak lakonannya sebaik mungkin dan menjalani sesi penggambaran dengan gembira dan tanpa tekanan.

"Ketika saya menerima sesuatu tawaran drama, memang tak harap nak 'famous' (popular) dan saya buat untuk 'fun shoot' kerana 'meletup' itu adalah tuah. Kita tak tahu sebab semuanya perancangan Allah.

"Malah, untuk watak Ariana dalam drama Adakah Engkau Menungguku ini, saya tiada rujukan sesiapa pun (pelakon) melainkan ikut cara sendiri. Wataknya pula tidak jauh beza dengan perwatakan diri saya," katanya.

Wanna berkata, ia juga tidak memenatkan jiwa untuk berlakon dan dia tenang serta gembira di lokasi penggambaran.

"Saya percaya penonton juga tak akan 'penat' menyaksikan drama ini kerana perjalanan ceritanya amat santai dan tidak berat. Boleh tonton seronok-seronok saja dan ambil mesej yang disampaikan," katanya.

Selain Wanna, drama Adakah Engkau Menungguku arahan Azmi Hatta turut dibintangi Adam Lee, Farhan Asri, Wani Kayrie, Neera Azizi, Sherry Ibrahim, Nabil Aqil dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 September 2022 @ 3:46 PM