Sudirman Mohd Tahir


Petaling Jaya: "Soal bayaran saya 'no comment'". Itu respons ringkas pelawak terkenal Johan ketika ditanya penghijrahannya ke stesen radio Hot FM dibayar dengan jumlah tinggi yang didakwa mencecah RM500,000. 

Bagaimanapun, Johan, 38, yang mengendalikan segmen pagi, Bekpes Hot, HaHaHa-Ngat bersama AG dan Fara Fauzana mengakui dia bekerja untuk duit. 

"Saya bekerja untuk duit, untuk anak bini saya. Sebelum ini bekerja sendiri, apabila mati saya tak tinggalkan apa-apa, cuma tinggalkan tanah perkuburan saja. Jadi, saya memang bekerja untuk duit. Saya memang akan pastikan orang bila dah bayar saya, berbaloi dengan hasil kerja saya. Sebab itu saya tak peduli, saya datang dengan 'barang' (pengalaman dan pengetahuan) saya, kita buat ini, buat itu. Minta maaf cakap, saya agak tegas dengan AG dan Fafau (Fara Fauzana).  

"Saya pelawak, saya faham macam mana perbualan itu nak bagi menarik. Di mana nak 'punch line', siapa nak bawa 'story' itu, perkara ini saya bentangkan kepada mereka. Mereka adalah penyampai radio, saya satukan sebagai pelawak dengan penyampai radio supaya ia tak bertindih dan ia berjalan lancar," katanya. 

Penyampai radio Hot FM, Johan Raja Lawak. FOTO Aziah Azmee
Penyampai radio Hot FM, Johan Raja Lawak. FOTO Aziah Azmee

Johan ditemui pada sesi santai Jom Bekpes Bersama Hot FM di Sri Pentas, Bandar Utama, di sini, pada pagi, hari ini. 

Menurut Johan yang sebelum ini berkhidmat selama 11 tahun menerusi segmen JoHaRa di stesen radio Era, antara faktor utama dia menerima tawaran diberikan adalah ingin menjadikan Hot FM stesen nombor satu. 

"Saya tamat kontrak dengan stesen radio lama pada 30 Jun lalu. Ketika itu saya merancang untuk berehat dahulu dan fokus pada perniagaan dan menguruskan anak-anak. Namun, selepas menerima tawaran daripada Hot FM selain mengenangkan hubungan baik yang terjalin antara saya dengan 'boss' (Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio, Nazri Noran yang mana pernah menjadi majikan saya dulu serta beberapa peluang lain, itu saya terima. 

"Bila saya buat satu benda dah selesa, apa kata ambil cabaran di luar kotak dan kebiasaan, di luar kelaziman apa yang sudah buat. Bila saya datang ke sini bukan nak kekalkan, saya ambil cabaran ini sejujurnya bukannya stesen nombor satu, tapi ambil cabaran ini untuk membantu menaikkan 'rating' stesen radio ini.  

"Memang tanggungjawab besar. Dalam perkara ini, dua saja kalau berjaya mampu, kalau tak 'mampus'. Sebab satu, saya akan gunakan segala pengalaman yang ada tak semua orang berani tanggung dan jawab, tapi saya ambil tanggungjawab dan cabaran dan saya datang sini supaya dapat naik taraf stesen radio ini, kalau nak kekalkan tak perlu panggil saya.

Saya gunakan segala pengalaman dan pengetahuan berkenaan radio, walaupun tak tahu mengenai segala mesin yang ada di konti, tapi saya cuba membawakan satu perbualan yang supaya mereka yang dalam kereta dan keadaan kesesakan jalan raya boleh relaks dan 'join' perbualan itu," katanya. 

Penyampai radio Hot FM, Farah Fauzana, Johan dan AG mengendalikan program di konti radio. FOTO Aziah Azmee
Penyampai radio Hot FM, Farah Fauzana, Johan dan AG mengendalikan program di konti radio. FOTO Aziah Azmee

Dalam masa sama, Johan berkata pembabitannya sebagai ahli keluarga baharu Hot FM dapat memberikan perubahan kepada stesen radio itu. 

"Sejujurnya, sebelum ini saya tak ambil Hot FM sebagai pesaing, tapi Sinar FM sebab paling dekat. Saya tak tahu sangat berkenaan Hot FM. Apabila masuk sini, saya cuba bawa perubahan. Itu yang saya bentangkan kepada mereka apa yang saya nak bawa dan apa yang ada.  

"Kadang orang nak dengar perbualan, dalam perbualan ada komedi, maklumat, sedih dan macam-macam ada. Dengan adanya segmen yang kita buat, juga membantu untuk orang lepaskan tekanan yang dalam kesesakan jalan raya," katanya. 

Segmen Bekpes Hot, HaHaHa-Ngat, bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat, bermula jam 6 hingga 10 pagi. 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Ogos 2022 @ 2:04 PM