WIRA Hatiku nyanyian Sheila Majid didedikasikan buat  pejuang negara yang berhempas-pulas menentang Covid-19
WIRA Hatiku nyanyian Sheila Majid didedikasikan buat pejuang negara yang berhempas-pulas menentang Covid-19
Affan Rostam

Datuk Sheila Majid berbesar hati apabila berpeluang mendendangkan lagu tema bagi filem Juang hasil kerjasama Matt Lai dari Asia Tropical Films Sdn Bhd, Datuk Rosyam Nor (Suhan Movies) dan Jack Lim (The Film Engine) selaku Penerbit Eksekutif.

Lagu berjudul Wira Hatiku itu didedikasikan khas buat semua pejuang barisan hadapan negara yang berhempas-pulas menentang 'amukan' virus Covid-19 serta memastikan rakyat Malaysia sentiasa berada dalam keadaan baik sebelum ini.

Lontaran suara Sheila itu juga dijangka dapat menguatkan lagi jalan cerita filem Juang selain ia adalah sebuah lagu yang indah.

Sheila, 57 atau nama sebenarnya Shaheila Abdul Majid berkata, lagu ini adalah caranya untuk menghargai petugas barisan hadapan yang banyak berkorban demi memastikan seluruh rakyat Malaysia berada dalam keadaan terbaik.

"Saya selalu ingin melakukan sesuatu untuk petugas barisan hadapan, sesuatu yang sangat bermakna buat mereka.

"Jadi, untuk terbabit menjayakan projek ini secara langsung dan mendendangkan lagu Wira Hatiku adalah sebuah penghormatan yang cukup besar terhadap setiap pengorbanan yang mereka lakukan kepada kita," katanya.

Lagu Wira Hatiku ini juga dikuatkan lagi dengan barisan pemuzik profesional dari Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) yang memberikan persembahan penuh penghormatan sambil dikuatkan dengan susunan muzik oleh Mac Chew.

Ketua Bahagian Pembangunan Bakat MPO, Ahmad Muriz Che Rose teruja kerana diberi penghormatan untuk terbabit sama dalam sebuah projek ini.

"Peluang yang diberikan pihak produksi untuk bekerjasama dengan Sheila dan karya epik ini sebagai penghormatan untuk petugas barisan hadapan. Ini adalah sebuah kerjasama yang baik dan kami amat menghargainya," Katanya.

Lagu Wira Hatiku yang diterbitkan Cheng Lee dan Elaine Soong itu dirakamkan secara orkestra oleh Peter Chong dengan bantuan Hep Kim Fai dan Chong Soon Jet.

Muzik video untuk lagu ini dirakamkan di dalam Dewan Filharmonik Petronas KLCC serta disulami dengan adegan yang meruntun jiwa

Ia cukup untuk melahirkan rasa patriotisme buat penonton, apatah lagi ketika mengenangkan kesukaran yang diharungi saat pandemik Covid-19 sebelum ini.

Muzik video lagu Wira Hatiku sudah boleh ditonton menerusi saluran YouTube Asia Tropical Films.

Filem Juang yang menampilkan lakonan Zizan Razak, Janna Nick, Izzue Islam, Sangeeta, Zul Ariffin dan ramai lagi akan menemui penonton pada 8 September depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2022 @ 6:20 AM