Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Filem Abang Long Fadil 3 mencatat kutipan RM10 juta selepas ditayangkan sejak Khamis lalu.

Penerbitnya, Datuk Yusof Haslam berkata, kejayaan itu membawa visi mereka dalam menghasilkan filem dengan nilai hiburan terbaik buat penonton.

"Syukur atas sambutan memberangsangkan untuk filem Abang Long Fadil 3. Sebagai penerbit, tentunya keutamaan kami adalah mempersembahkan filem yang dihasilkan dan ia mampu diterima serta memberi nilai hiburan kepada penonton.

"Sejak ditayangkan, kami sudah menerima pelbagai reaksi daripada penonton selepas mereka menyaksikan filem ini dan kami amat berterima kasih kepada semua atas sokongan terhadap filem ini," katanya.

Abang Long Fadil 3 arahan Syafiq Yusof menampilkan lakonan Zizan Razak dan Johan Raja Lawak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2022 @ 3:36 PM