LUFYA. FOTO Arkib NSTP
LUFYA. FOTO Arkib NSTP

Kuala Lumpur: "Saya kesal dengan sikap netizen yang memfitnah saya dengan tuduhan tak masuk akal."

Demikian kata pelakon dan penyanyi, Lufya Omar menerusi hantaran kepada media, mengulas mengenai kekesalannya apabila dihentam dan dikatakan bermain sandiwara mengenai insiden cubaan menculik membabitkan anaknya, Laana Haura, Jun lalu.

Lufya, 37, berkata, dia tidak akan bergurau senda kerana insiden itu membabitkan perihal keselamatan dan nyawanya serta Laana.

"Takkanlah perihal keselamatan dan nyawa saya serta anak itu perkara main-main. Malah ada yang cakap saya nak menutup jenayah bekas suami.

"Sedangkan selama ini, saya sudah nafikan bahawa pelaku itu bukan bekas suami dan biar pihak polis melakukan siasatan.

"Kalau saya tahu siapa pelakunya, sudah lama tindakan mahkamah diambil. Tak kiralah siapa pun dia," katanya.

Tambah bekas peserta Akademi Fantasia 6 itu lagi, dakwaan dan kecaman yang dilemparkan kepadanya tidak berasas dan mengganggu emosinya.

"Saya tak boleh terima tuduhan orang yang sesuka hati bercakap tanpa ada rasa tanggungjawab. Ia sangat tak berasas, kejam dan mengganggu emosi," katanya.

Menurutnya, dia berusaha membuatkan anaknya lupa akan trauma disebabkan insiden itu.

"Saya berusaha sendiri untuk menggembirakan anak selepas kami masing-masing trauma dengan insiden yang berlaku. Saya cuba sehabis baik supaya anak dapat melupakan insiden hitam itu.

"Saya bawa dia jalan-jalan setiap minggu. Sedap saja netizen cakap itu ini. Apabila saya berdiam demi memulihkan emosi diri dan anak, macam-macam timbul," katanya.

Lufya yang sudah dua kali membuat laporan polis berkata, dia diberikan pelbagai alasan daripada pihak polis sekali gus membuatkannya rasa seperti layanan yang diberikan tidak serius.

"Kali pertama saya datang buat laporan polis di Mutiara Damansara. Malah siap diambil gambar kesan luka saya dan disoal siasat oleh mereka lebih kurang tiga jam.

"Kali kedua, saat hampir tiba di balai polis di Petaling Jaya, pihak mereka terpaksa membatalkan temujanji kerana ada acara malam sebelumnya yang habis lewat.

"Malah alasan mesin fotostat turut diberi hingga segala urusan ditangguh. Tapi saya bukan mahu cari fasal dengan polis. Mereka boleh berurusan dengan saya tanpa membabitkan media.

"Kenyataan dikeluarkan media itu seolah-olah saya tak pernah datang ke balai polis untuk memberikan kerjasama. Saya mahu hal ini diselesaikan segera dengan pihak berkuasa tanpa perlu mendedahkan apa saja kelemahan terjadi," katanya.

Untuk rekod Lufya membuat laporan polis berhubung kejadian berlaku di Balai Polis Kota Damansara kira-kira jam 6 pagi pada 29 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2022 @ 2:14 PM