FITRI Haris.
FITRI Haris.
Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Penyanyi nasyid, Dr Fitri Haris, 37, menerima pengiktirafan tersenarai 'Successful People In Malaysia In 2022' oleh Britishpedia dari United Kingdom (UK).

Fitri berkata, penghargaan itu amat bermakna buatnya kerana diletakkan sebaris tokoh-tokoh ternama penerima sebelumnya seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Quek Leng Chan dan Tan Sri Tony Fernandes.

"Prosesnya bukan mudah kerana saya perlu menjalani temubual tiga bulan lalu untuk pastikan kesahihan maklumat. Apabila mereka dah kaji latar belakang dan pencapaian, barulah layak untuk dapat sijil dan dimasukkan dalam ensiklopedia.

"Saya baru dapat sijil ini. Prosesnya sangat rapi dan profesional. Ini adalah pengiktirafan ketiga saya dalam tempoh dua tahun selepas menerima ASEAN Inspiring Awards 2021 di Surabaya, Indonesia dan Top Young CEO 2021 di Kuala Lumpur," katanya.

Dalam bidang akademik, Fitri terbabit untuk kajian muzik Islam melalui modul 'This is Nasyid' hasil kerjasama bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

Menurut Fitri, ia adalah satu bahan legasi ilmu yang boleh dimanfaatkan bukan saja di Malaysia tetapi di peringkat antarabangsa dalam memperkenalkan muzik Islam lebih meluas dalam konteks 'musicology'dan juga 'ethnomusicology'.

"Saya tidak mahu bergerak sendirian dan kini sedang merangka untuk menubuhkan sebuah institut sendiri. Institut itu memperkenalkan bidang baharu dalam dunia akademik di Malaysia khususnya dan dunia amnya," katanya.

Pada 2015, Fitri menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di University of Nottingham, United Kingdom dalam bidang Musicology.

Mengambil masa selama empat tahun, dia berjaya melepasi sesi Viva Voce PhD iaitu sesi pembentangan dengan panel mengenai kajian yang dibuat dan lulus dengan suntingan minor.

Pada 10 Disember 2019, dia secara rasmi bergelar Dr Fitri Haris apabila ke UK untuk menghadiri majlis konvokesyen di universiti terbabit.

Pengiktirafan 'Successful People In Malaysia 2022' yang dimuatkan dalam Ensiklopedia Britishpedia 2022 akan dilancarkan pada akhir tahun ini.

Ia boleh didapati di perpustakaan-perpustakaan seluruh Malaysia dan beberapa negara seluruh dunia seperti Singapura, Jerman, Slovakia, Austria, Republik Czech, Hungary dan Poland.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2022 @ 3:53 PM