FITRI bakal berduet lagu raya bersama Lan Solo.
FITRI bakal berduet lagu raya bersama Lan Solo.
Amirul Haswendy Ashari


RAMADAN kali ini diharap membawa sinar buat penyanyi nasyid, Fitri Haris untuk menamatkan pengajian peringkat doktor falsafah (PhD).

“Sudah empat tahun saya komited dengan pengajian ini. Alhamdulillah, bulan ini (Mei) saya akan terbang ke UK (United Kingdom) untuk ‘viva’.

“Saya akan berpuasa di sana dan mungkin juga kalau sempat balik beraya, baliklah. Kalau tak sempat, beraya di sanalah jawabnya,” kata Fitri.

Menurut Fitri, dia akan berada di sana selama dua minggu untuk persiapan ‘viva’ yang hanya mengambil masa sehari.

Berkongsi situasi yang bakal dilalui, Fitri berkata dia akan berdepan dengan tiga hingga empat panel ahli akademik.

“Masuk saja dalam bilik, saya akan bersoal jawab dengan mereka. Selepas itu akan diminta keluar selama 10 minit untuk memberi ruang kepada mereka berbincang.

“Apabila diminta masuk semula ke dalam bilik, itulah perasaan paling mendebarkan kerana mereka akan terus beri keputusan,” katanya.

Juara Gema Gegar Vaganza musim kedua itu berharap misi penting berkenaan dapat diselesaikan dengan jayanya.

Ini kerana andai ada rezeki, dia mahu fokus mengembangkan karier seni selepas Aidilfitri nanti.

Bakal bergelar doktor falsafah dalam kajian muzik nasyid, Fitri merancang membentangkan kajiannya itu dalam kalangan penggiat muzik lain.

“Saya berani kerana sedar ramai yang keliru dengan genre nasyid. Jadi, apa sebenarnya nasyid?

“Kajian saya ini mengenai penampilan, genre lagu dan sebagainya. Saya rancang mempersembahkannya melalui sebuah konsert khas pada Julai depan,” katanya.

Katanya, idea dan konsep adalah 100 peratus daripada dirinya kerana ia berdasarkan kajian kedoktorannya.

Selain itu, dia juga merancang menjemput ahli akademik lain yang terbabit dalam kajian hampir serupa.

“Kalau ikutkan dalam dunia ini tidak ramai pun ahli akademik yang betul-betul buat kajian mengenai nasyid.

“Saya dapati hanya dua dari Israel dan seorang dari Belanda. Jadi, mana ahli akademi dari Malaysia yang buat kajian mengenai genre ini?

“Sedangkan ada artis luar negara yang memilih genre nasyid diminta mencuba nasib di Malaysia terlebih dahulu sekiranya mahu ‘popular’ di luar,” katanya.

Katanya, menerusi pembentangan itu dia akan menjemput beberapa wakil daripada mursyid, munsyeed dan pemuzik nasyid lama serta baru.

LAGU RAYA DUET BERSAMA LAN SOLO

Kesinambungan kepada lagu Dua Dunia bersama penyanyi rock, Lan Solo, Fitri akan muncul dengan lagu raya pula juga berduet dengan Lan.

“Tajuk belum ditentukan lagi tetapi setakat ini dikenali dengan tajuk Joget Lebaran. Pada masa ini, saya masih berusaha menempatkan diri dalam bidang nyanyian.

“Saya sudah cuba yang terbaik walaupun pada masa sama kerja sepenuh masa sebagai pensyarah di UUM (Universiti Utara Malaysia) selain kena siapkan PhD,” katanya.

Sambung Fitri lagi, dia juga menghasilkan single terbaharu bersama Awi Rafael berjudul Hanya Kamu.

Kata Fitri, lagu itu sudah lama diterbitkan tetapi belum sempat mempromosikannya berikutan dugaan yang menimpa Awi baru-baru ini.

“Ketika lagu itu nak keluar, Awi tak jadi kahwin. Saya tak boleh paksa dia dan kena faham situasi yang dihadapinya,” kata Fitri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 5:00 AM