Alif Syukri
Alif Syukri
Norhayati Nordin

Petaling Jaya: Bukan berundur selama-lamanya, tapi 'sekejap' saja.

Inilah penjelasan individu yang kerap mencetus kontroversi dengan kandungan-kandungan dimuat naik di media sosial sehingga mengundang kecaman ramai, Datuk Seri Aliff Syukri, 35, berhubung tindakannya membuat pengumuman untuk berundur dari media sosial, baru-baru ini.

Bagaimanapun, selepas empat hari memadam semua hantaran di Instagram, Aliff bertindak sebaliknya apabila kembali aktif di media sosial itu.

"Bermain Instagram adalah hobi saya dan sebenarnya saya memang tak boleh berpisah dengannya (Instagram). Saya hanya mampu bertahan, empat hari saja," katanya.

Aliff berkata, dalam siaran langsung dibuatnya itu, dia tidak memaklumkan mahu mengundur diri selamanya, tetapi sekadar ingin 'berhenti sekejap' daripada media sosial kerana berasa amat tertekan dengan provokasi orang sekeling ketika itu.

"Saya terasa hati dan tak boleh terima apa yang emak saya katakan waktu itu kerana amat mengaibkan dan menghina diri saya. Jadi, air mata saya keluar dan saya kata, tak apalah saya 'left' semuanya (dari media sosial). Tapi, saya tak kata pun sampai mati atau selama-lamanya. Saya cuma kata, saya akan henti di sini, undur diri. Namun, saya hanya boleh tahan empat hari saja," katanya.

Dalam masa sama, Aliff turut menafikan dia seorang 'kaki drama' dan suka membuat gimik untuk menarik perhatian ramai.

"Saya tidak membuat kontroversi untuk tujuan pemasaran produk saya, tetapi kenapa semua orang dilihat tidak boleh menerima saya sebagai seorang artis," katanya.

"Apa kurang saya? Nak kata tak lawa, dah lawa. Nak kata hidung tak mancung, dah siap dah. Tapi, kenapa tak boleh terima bakat saya. Semua yang saya lakukan bukan sebab gimik, cuma nak rakyat Malaysia terima bakat saya. Kenapa penyanyi luar seperti Psy dari Korea Selatan itu, boleh pula terima dengan baik tapi saya dikecam, dihina dan dimaki," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2022 @ 3:58 PM