Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: "Sebenarnya saya dah tak nak buat benda itu (kandungan merapu di media sosial), tapi saya terpaksa. Saya dah tak nak dah sebab saya dah tua, saya dah jelak.

"Namun, kalau saya buat kandungan formal 'view' (tontonan) tiada pula. Jadi masyarakat nak apa?"

Itu kata usahawan kosmetik kontroversi, Datuk Seri Aliff Syukri mengenai dilema dihadapi berhubung penghasilan kandungan di media sosial.

Aliff berkata, kini dia lebih fokus kepada keluarga dan karier. Bagaimanapun, apabila buat begitu jumlah tontonan dan 'like' di media sosial berkurangan.

"Orang suka saya berlakon dengan isteri saya. Buat lawak-lawak bodoh dan kontroversi. Kalau hantaran mengenai perniagaan agak kurang. Isteri saya pula tak suka buat drama, tak suka buat kandungan. Jadi, agak susah juga.

"Bila kami dah tua, ada satu benda iaitu kami tak nak buat kandungan begitu kerana dah penat. Dulu saya akui saya seronok. Bila menginjak usia 36 tahun, saya rasa sampai bila akan terus begini," katanya ketika ditemui di majlis perasmian butik fesyennya, As Hijab di sebuah pusat beli-belah terkemuka, di sini.

Hadir sama, isterinya, Datin Seri Nur Shahida.

Aliff yang sering dikaitkan dengan kontroversi menjelaskan, setiap orang ada cara penyampaian sendiri.

"Kalau saya buat serius orang tak nak tengok saya. Orang lebih suka saya gila-gila. Kalau orang jumpa saya secara berdepan, mereka faham saya sebenarnya ada dua karakter berbeza.

"Secara berdepan saya seorang yang serius sebenarnya, cuma dalam video saya suka buat kelakar-kelakar dan ia menyumbang kepada jumlah tontonan.

"Contohnya hujung-hujung video saya jual barang. Orang akan kata saya 'propa' dan ia adalah strategi pemasaran. Kalau saya tak buat begini saya nak jual apa? Kena jual baranglah hujung-hujungnya.

Itu sumber pendapatan saya," katanya.

Aliff berkata, sekiranya mengambil duta, mungkin dia buat tidak sebaik yang dilakukannya.

"Sebenarnya saya pun dah penat nak buat kandungan dan sebagainya. Bila umur dah meningkat saya mengharapkan anak saya tapi anak lelaki saya terlalu pemalu. Saya jenuh ajak dia ke depan tapi tetap tak berjaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 November 2022 @ 8:14 PM