PUTERI Aishah takut dijangkiti lagi dengan wabak itu. FOTO arkib NSTP
PUTERI Aishah takut dijangkiti lagi dengan wabak itu. FOTO arkib NSTP
Najiy Jefri

Pelakon Puteri Aishah mengakui takut ketika kembali menjalani penggambaran drama bersiri Rahimah Tanpa Rahim bulan lalu selepas pernah berdepan pengalaman dijangkiti Covid-19 pada April lalu.

Puteri berkata, pada mulanya dia takut untuk kembali berlakon dalam drama terbitan Country Universal Sdn Bhd, tetapi pihak pengurusan dan syarikat produksi cuba meyakinkan dirinya.

"Ketika pelakon lain sudah mula menjalani penggambaran, saya pula bermula sedikit lewat kerana mahu betul-betul bersedia dan yakin dengan keadaan persekitaran di lokasi.

"Saya pernah positif Covid-19, jadi tak naklah dijangkiti lagi. Namun, pihak produksi meyakinkan saya bahawa mereka mengikut segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

"Pada awal penggambaran, macam-macam benda yang saya bawa seperti pelitup muka dan cecair pembasmi kuman. Malah, saya juga ambil keputusan untuk tidak menggunakan khidmat jurusolek di penggambaran. Saya lebih selesa menyolek sendiri di lokasi," katanya.

Menurut Puteri, melihat situasi wabak berkenaan yang meningkat mendadak sejak minggu lalu, dia berharap orang ramai lebih peka dan tidak keluar rumah jika tiada keperluan.

"Siapa tak takut apabila kes positif Covid-19 makin meningkat. Apabila memikirkan saya perlu pergi ke lokasi penggambaran setiap hari, saya bertambah fobia. Bagaimanapun, pihak produksi sudah memaklumkan yang mereka akan menjauhi kawasan berisiko. Saya pun tak nak penggambaran ini berlangsung separuh jalan saja.

"Bagi saya, kalau tiada keperluan untuk keluar, duduklah saja di rumah. Saya pun kalau cuti memang tak keluar rumah. Ikutlah SOP yang ditetapkan. Siapa yang kena kuarantin, tolonglah kuarantin dan jangan langgar peraturan yang sudah ditetapkan," katanya.

Puteri Aishah disahkan positif wabak itu selepas pulang dari menjalani penggambaran drama Demi di Inverness, Scotland pada 7 April lalu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Oktober 2020 @ 2:44 PM