Hattan ketika menjayakan konsert Hattan 35 Years Journey yang berlangsung di Dewan Plenary, KLCC.
Hattan ketika menjayakan konsert Hattan 35 Years Journey yang berlangsung di Dewan Plenary, KLCC.
Zaara Talita


Kuala Lumpur: "Saya bersyukur penat lelah sepanjang tempoh empat bulan ini akhirnya terbalas. Kalau nak lompat-lompat seperti dulu tiada, namun persembahan saya lebih kepada permainan jiwa."

Itu kata penyanyi Datuk Hattan, 57, mengenai kejayaan konsert solonya, Hattan 35 Years Journey yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, Sabtu dan Ahad lalu yang dipuji banyak pihak selain dilabelkan sebagai antara konsert tempatan terbaik pernah dianjurkan.

Hattan atau nama sebenarnya, Mohd Shukri Shahabudin ketika dihubungi berkata, dia bersyukur dengan sambutan peminat dan penggiat seni namun mengakui kerja keras di sebalik kelancaran konsert berkenaan.

Hattan yang dipuji berikutan persembahan vokal mantap berkata, bagi mengekalkan stamina, dia tidak berhenti bersukan seperti jogging dan bermain golf.

"Semakin hampir tarikh konsert, saya banyak jogging. Selepas solat Subuh saya dan isteri akan jogging manakala petang atau malam saya akan bersenam lagi. Sama seperti pemain bola sepak apabila menghampiri tarikh perlawanan, begitu juga penyanyi yang memerlukan stamina yang tinggi. Bagi saya, rutin itu membantu biarpun sudah semakin meningkat usia," katanya kepada Harian Metro.

Ini dibuktikan Hattan persembahan vokalnya tetap mantap walaupun usia sudah melebih 50 tahun.

Dalam persembahan berdurasi tiga jam, Hattan tidak goyah, malah tidak langsung nampak kepenatan.

Kali pertama mengadakan konsert solo berskala mega sempena meraikan perjalanan kerjaya seninya selama 35 tahun, Hattan membuktikan yang dirinya sememangnya penghibur hebat.

Malah, sistem bunyi berkualiti menjadi penyumbang mengapa konsert anjuran Mewah Event Management itu menjadi antara konsert yang mesti ditonton tahun ini.

"Alhamdulillah kalau kita lihat sekarang ini setiap minggu pasti ada konsert. Ini adalah petanda yang baik yang membawa maksud pintu rezeki lebih terbuka kepada banyak artis.

"Tidak dinafikan saya turut menerima banyak panggilan untuk konsert dan sebagainya namun merancang benda besar sebegini bukan mudah. Mungkin tahun hadapan. Hasrat saya adalah untuk mengadakan persembahan di Istana Budaya. Jadi itu adalah impian dan sasaran saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Jun 2022 @ 4:26 PM