Shiha Zikir
Shiha Zikir
Norhayati Nordin


Putrajaya: Penyanyi, pelakon dan penyampai radio, Shiha Zikir, 35, akhirnya berjaya membuktikan bakat seni dimilikinya apabila mengungguli empat trofi dalam Anugerah MeleTOP Era 2021 (AME2021) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, malam tadi.

Pada acara itu, Shiha lebih dulu unggul memenangi trofi-trofi menerusi kategori Duo/Berkumpulan MeleTOP bersama Noki K-Clique dan Lagu MeleTOP juga bersama Noki K-Clique untuk lagu AEWO.

Shiha juga menang anugerah Artis Versatil MeleTOP dan Bintang Filem MeleTOP menerusi filem Hantu Bonceng.

Shiha ditemui berkata dia hanya mampu bersyukur dengan kemenangan yang tidak pernah diduganya itu. Katanya, dia berusaha keras selama ini kerana minat yang mendalam.

"Saya anggap kemenangan ini rezeki hasil daripada usaha keras yang dibuat. Selama ini, saya sentiasa cuba menerima apa saja peluang yang datang dan tidak menghiraukan juga pelbagai tanggapan yang dilemparkan kepada saya.

"Setiap tawaran kerja yang datang itu, rezeki dan saya juga suka mencuba. Ditambah, kalau nak fikir apa kata orang terhadap saya, memang tak boleh nak melangkah ke manalah dalam karier ini," katanya lagi.

Menurut Shiha, apa yang pasti dia lebih senang membiarkan saja semua tanggapan dan kritikan orang lain dan hanya fokus melakukan apa yang disukainya kerana bukan mudah untuknya sampai ke tahap sekarang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2022 @ 12:06 AM