Amir Masdi digosipkan dengan Shila Amzah
Amir Masdi digosipkan dengan Shila Amzah
Norhayati Nordin


Petaling Jaya: "Saya tak pernah terfikir lagi kalau saya nak (calon jodoh) lebih tua, lebih muda atau sebaya. Saya memang jujur, tak pernah fikir lagi," katanya penyanyi dan komposer, Amir Masdi berhubung kriteria wanita pilihan hatinya.

Amir atau nama sebenarnya, Amir Syazwan Masdi, 26, berkata sehingga ke saat ini, dia memang belum mempunyai kriteria tertentu yang menjadi penilaian utamanya terhadap seseorang wanita untuk menjadi kekasih.

"Saya belum sedia nak bercinta lagi. Sebabnya, saya ada impian yang ingin dikejar dulu dalam pelajaran, karier muzik dan seterusnya dapat muncul dengan konsert solo, pada tahun depan.

"Banyak keinginan saya yang ingin dicapai belum terlaksana. Namun, sebagai penyanyi yang mungkin semakin dikenali sekarang, saya mula terkait dengan gosip. Tapi, hakikat sebenarnya tak ada apa-apa pun," katanya kepada Harian Metro.

Tidak melatah dengan gosip cinta dihadapi kini, Amir berkata dia memahami tindakan 'kenen-kenen' yang dibuat segelintir netizen dan peminat di media sosial.

Jelasnya, cuma tidak perlu ambil serius.

"Perkara membabitkan gosip sebegini, saya tak ambil serius pun selagi tidak melampaui batas. Biarlah mereka nak buat apa, sebab permintaan di media sosial adalah 'content' (kandungan cerita). Jadi, kisah gosip ini adalah normal.

"Macam gosip saya dan Shila Amzah, ia mungkin sekadar suka-suka netizen dan tidak serius pun. Sebab, saya yang tahu perkara sebenar dan kami pun tak pernah keluar berdua," katanya.

Baru-baru ini, Amir secara tiba-tiba hangat digosipkan dengan Shila Amzah kerana dikatakan serasi dan mesra apabila sering dilihat bersama kerana aktif bermain badminton yang turut disertai beberapa artis lain juga.

Terdahulu, Amir ditemui ketika menjadi salah seorang daripada 28 penggiat seni yang menerima Anugerah Dekan bagi Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif dari Universiti Utara Malaysia (UUM).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2022 @ 11:44 AM