Norhayati Nordin


BAKAT lakonan dimiliki Normah Damanhuri memang tak perlu disangkal lagi.

Berilah apa saja watak kepadanya terutama jalan cerita yang berat pasti tidak akan mengecewakan.

Pada usia sudah mencecah 70 tahun, Normah tampil menyahut cabaran memainkan watak komedi sebagai Rohayu, seorang janda yang juga peniaga kedai runcit yang sentiasa bergaya dengan kebaya pendek dalam filem terbaharunya, Tiga Janda Melawan Dunia.

Rohayu yang selalu cakap lepas dianggap bernasib malang dalam perkahwinannya ketika muda apabila semua suaminya meninggal dunia serta-merta selepas mereka bernikah. Mujur juga ada dua sahabat baik, Midah dan Noraini yang sentiasa bersama.

Pada ketika Rohayu dihina akibat didakwa pembawa malang, Midah menjadi rakan yang mempertahankannya serta Noraini, seorang balu anggota tentera.

Apa yang menarik, Rohayu juga seorang wanita matang yang manja dan ada sedikit 'gedik'.

Mengulasnya, Normah ketika ditemui pada majlis pratonton filem berkenaan baru-baru ini berkata, dia ada rasa malu ketika melakonkan watak Rohayu itu.

Katanya, itu satu cabaran untuk dia apabila kena melakonkan watak wanita dewasa yang manja.

"Kalau nak kata perasaan saya, adalah juga rasa malu dan terfikir-fikir sama ada boleh atau tidak watak itu. Ditambah lagi, kena 'gedik' sikit-sikit dan ia sebenarnya tidak mudah.

"Namun, saya bernasib baik ada kawan seperti Khatijah Tan dan Raja Azura yang suka membantu. Mereka akan beri semangat dan galakan untuk saya cuba buat dengan sebaik mungkin. Sebab itu, nampaklah juga menjadinya," katanya.

Ditanya juga mengenai genre cerita yang komedi, Normah berkata, dia tidak biasa melakonkan watak lucu serta memerlukan berjenaka.

CUBA berlakon watak komedi, diakui Normah tidak mudah.
CUBA berlakon watak komedi, diakui Normah tidak mudah.

Katanya, selama aktif berlakon, dia banyak mendapat kepercayaan melakonkan watak berat dan bermain emosi.

"Bolehlah dikatakan, saya tak biasa berlakon komedi. Mula-mula itu, berat juga nak terima tawaran berlakon filem Tiga Janda Melawan Dunia ini sebabnya tak biasa buat kelakar. Saya jadi bimbang dibuatnya kerana sudah biasa berlakon watak dalam cerita yang berat

"Apatah lagi, saya berasakan macam cepatlah benda ini berlaku (dapat tawaran watak). Ia datang secara tiba-tiba. Malah, ketika saya membaca skrip awal, memang tak faham jalan ceritanya dan terpaksa hubungi pengarah, Hyrul Anuar semula untuk penerangan lanjut," katanya.

Menurut Normah, dia kagum dengan sikap Hyrul itu yang rajin dan sentiasa bersedia untuk membantu memberi penerangan cerita kepada pelakon dipilih.

"Melakonkan watak Rohayu ini boleh dikata sangat memenatkan sebab 'shooting' (penggambaran) sampai pagi, tapi hasilnya kami semua seronok sangat kerana berjaya buat penonton terhibur.

"Sepanjang bekerja dengan Hyrul juga 'happy' sebab sentiasa boleh berbincang dengannya. Malah, kalau ada peluang bekerja lagi dengan Hyrul selepas ini, saya tidak akan tolak. Senang sangat bekerja dengan dia sebab tak beri tekanan langsung kepada pelakon. Walaupun penat, tapi kami semua tidak merungut kerana yakin dengan arahannya," katanya.

Mengulas juga mengenai babak lakonannya, Normah berkata, semua babak itu 'best' dan penting. Dia tidak tahu nak pilih yang mana satu kerana semua babak macam mahal dan memberi kepuasan yang diinginkan.

Tiga Janda Melawan Dunia mula menemui penonton di pawagam seluruh negara sejak Khamis lalu.

Selain Normah, Khatijah dan Raja Azura, turut berlakon ialah Norman Hakim, Rosnah Mat Aris, Ellyza Azizi dan Abbas Mahmood.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2022 @ 6:40 AM