AJAK.
AJAK.
Syanty Octavia Amry


Sering diberikan watak komedi, Ajak Shiro berharap diberi peluang melakonkan watak serius selepas ini.

Ajak berkata, sebagai pelawak pastinya mereka mahu keluar daripada kepompong yang sama.

Tidak mustahil pelawak juga mampu berlakon watak serius.

“Saya memang teringin berlakon watak serius. Sudah tiga filem saya diberikan watak komedi. Teringin juga berlakon watak serius dan saya berharap dapat melakonkan watak sebagai pembunuh upahan.

“Saya faham mungkin ada pengarah bimbang saya tidak boleh melakonkan watak serius, tetapi apa salahnya diberi peluang,” katanya.

Ajak berkata, ada juga telefilem yang menawarkannya watak serius tetapi tidaklah mencabar.

Terbaru, filem lakonan Ajak bertajuk Rempit Sampai Langit bakal menemui penonton di seluruh pawagam tanah air bermula Khamis ini.

AJAK berganding dengan Nabila dalam filem Rempit Sampai Langit.
AJAK berganding dengan Nabila dalam filem Rempit Sampai Langit.

Selain Ajak, filem arahan Silver Chung itu turut menampilkan Nabila Huda, Tauke Jambu, Christina Suzanne, Reen Rahim dan ramai lagi.

Menerusi filem itu, Ajak membawa watak sebagai Kudin lelaki penghantar surat.

Bercerita mengenai gandingannya dengan Nabila, Ajak berkata, dia sangat mengagumi Nabila seorang pelakon yang profesional.

“Sebelum ini saya mengenali Nabila seorang yang gila-gila, tetapi apabila sudah berada di lokasi penggambaran dan kerja bersama dia sangat bagus.

“Nabila begitu menghayati watak yang dia lakonkan dan itu memberi semangat untuk saya,” katanya.

Dalam pada itu, Ajak bakal mengerjakan umrah bersama keluarga bulan depan.

Disebabkan itu, dia terpaksa menolak tawaran berlakon drama bersiri 13 episod di Astro.

“Saya ada ditawarkan berlakon drama bersiri, tetapi ia bertindih dengan tarikh saya mengerjakan umrah.

“Sedih juga kerana saya memang hendak sangat berlakon dalam drama itu tetapi apa boleh buat bukan rezeki saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2017 @ 7:26 AM