PUTERI Sarah Liyana. FOTO Arkib NSTP
PUTERI Sarah Liyana. FOTO Arkib NSTP
Wartawan Harian Metro

Kuala Lumpur: Pelakon Puteri Sarah Liyana tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis terhadap individu yang melakukan provokasi dan memanipulasi isu masalah rumah tangganya dengan suami, Syamsul Yusof.

Sarah ketika ditemui berkata, dia sebenarnya banyak menerima mesej sedemikian serta ugutan di Instagram tetapi enggan melayannya. 

"Tidak dinafikan ada beberapa pengikut di Instagram cuba melakukan provakasi serta menghina saya di ruangan mesej peribadi. Saya dapat rasakan individu-individu ini adalah orang yang sama, cuma dia menggunakan beberapa akaun palsu untuk menganggu mental dan berniat tidak baik," katanya.

Sarah berkata, dia terkilan apabila masalah rumah tangganya terus diganggu pihak tidak bertanggungjawab dan dimanipulasikan.

"Kalau sebelum ini saya menerima banyak mesej yang bukan-bukan di mesej peribadi tapi kali ini individu itu berani memberikan komen untuk tatapan umum," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai dakwaan seorang pengikutnya di Instagram yang mendedahkan nama orang ketiga hingga hubungan rumah tangganya Syamsul menjadi 'dingin', Sarah enggan mengulasnya. 

Terdahulu, menerusi tinjauan Harian Metro di ruangan komen Sarah terdapat seorang pengikutnya di Instagram seolah-olah memberi bayangan adakah individu yang menganggu rumah tangganya selama ini adalah wanita yang pernah dikaitkan dengan suaminya sebelum ini serta anak kepada seorang pelakon veteran .


Sebelum ini , kisah rumah tangga pasangan selebriti itu didakwa sedang dilanda masalah sehinga mendapat perhatian netizen. 

Sarah juga mengakui sudah beberapa bulan tidak tinggal sebumbung dengan Syamsul dan dia mendakwa suaminya itu tahu kenapa dia 'dingin'. 

Syamsul juga mengaku mereka sudah tidak tinggal sebumbung tetapi tidak bermaksud mahu bercerai. 

Pasangan itu berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2021 @ 4:42 PM