Puteri Sarah Liyana
Puteri Sarah Liyana
Najiy Jefri

 

Kuala Lumpur: "Semoga tahun 2021 ini saya dan keluarga bertambah baik dan dijauhkan dari perkara-perkara yang tidak elok. Mohon dijauhkan dari gangguan jin dan syaitan. Amin."

Demikian luahan pelakon Puteri Sarah Liyana yang memohon orang ramai dan peminat mendoakan semoga rumah tangganya bersama pengarah Syamsul Yusof berkekalan hingga ke akhir hayat sempena menyambut ulang tahun kelahiran ke-35, hari ini. 

Menurut Puteri Sarah, dia berharap 2021 memberi sinar baharu kepada rumah tangga yang dibina dengan pengarah filem itu tanpa sebarang kesulitan.

"Doakan kesejahteraan keluarga saya, bahagia dunia akhirat dan rumah tangga saya berkekalan hingga ke jannah. 

"Selamat ulang tahun buat diri ini yang selalu berjuang tak kenal lelah, berharap semoga Allah selalu permudahkan segala urusanku. Saya tak minta banyak cuma nak minta semua tolong doakan tahun 2021 saya lebih baik dari 2020 ini," katanya dalam satu hantaran video di Instagram. 

Menerusi perkongsian video yang dimuat naik itu, Sarah meraikan ulang tahun kelahirannya bersama dua anak iaitu Syaikhul Islam, 3, dan Summayah,1, serta keluarganya di sebuah hotel di ibu kota. 

Bagaimanapun, Syamsul tidak kelihatan dalam video itu. 

Terdahulu, kisah rumah tangga pasangan selebriti itu didakwa sedang dilanda masalah sehinga mendapat perhatian netizen. 

Sarah sebelum ini mengakui sudah dua bulan tidak tinggal sebumbung dengan Syamsul dan dia mendakwa suaminya itu tahu kenapa dia 'dingin'. 

Syamsul juga mengaku mereka sudah tidak tinggal sebumbung tetapi tidak bermaksud mahu bercerai. 

Pasangan itu berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 4:24 PM