Ayda bersama adik beradiknya.
Ayda bersama adik beradiknya.
Najiy Jefri


Penyanyi Ayda Jebat berjaya memujuk dua adiknya, Shafyna dan Sabira untuk berduet dalam single raya berjudul Hari Rayayayaya.

Ayda berkata, gandingan tiga beradik ini juga dinamakan sebagai The Jebats.

"Lagu raya ini saya cipta sepenuhnya. Pada mulanya, saya mahu menyanyikan lagu ini sendiri, tetapi selepas difikirkan semula, rasa seronok kalau saya berduet dalam lagu ini. 

"Dalam fikiran saya hanya terbayang dua adik saya, Fyna dan Sabira. Ini kerana, sewaktu zaman persekolahan, kami bertiga dikenali sebagai kumpulan SASSU. 

"Lagipun gandingan ini sangat menyeronokkan kerana sudah hampir 13 tahun kami tidak menyanyi bersama. Sebenarnya, susah nak pujuk mereka sebab masing-masing tinggal di Melaka.

"Alhamdulillah, mereka datang ke sini untuk proses rakaman serta penggambaran muzik video (MV). Adik bongsu kami, Danial juga turut menyumbangkan suara," katanya.

Menurut Ayda, MV single Hari Rayayayaya boleh dianggap permulaan dan berharap dapat mengeluarkan single komersial bersama adik-beradiknya lagi.

"Konsep MV bertemakan 60-an selari dengan genre single raya ini. Kami masukkan elemen komedi seperti elemen viral Datuk Seri Vida serta adegan Pak Maon singgah ke rumah terbuka The Jebats.

"Kami tak nak terlalu tekankan mood raya semata-mata dalam MV ini, jadi kami selitkan babak lucu dan sedikit berbeza. Insya-Allah jika lagu raya ini berjaya, kami akan merancang untuk merakamkan single komersil untuk dirakamkan bertiga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2022 @ 5:15 PM