Ayda Jebat
Ayda Jebat
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pelakon dan penyanyi, Ayda Jebat, 31, tetap selesa dengan gelaran 'adik' oleh mereka yang mengenalinya walaupun kini semakin meningkat usia termasuk sudah bergelar isteri dan ibu.

Ayda atau nama sebenarnya, Nur Suhada Jebat ketika ditemui berkata, gelaran 'adik' itu disifatkan amat sinonim dan sudah sebati dengannya sejak mula dikenali menerusi drama Rindu Awak 200% pada 2014.

"Itulah macam mana ya. Sekarang pun di lokasi penggambaran orang masih panggil saya dengan 'adik' itu. Gelaran yang dah sebati dan untuk saya, panggil sajalah 'adik' sampai bila-bila.

"Tapi, kadang-kadang ada juga artis baharu yang panggil saya, kak Ayda di lokasi. Terus saya tanya umur dan bila dia cakap 19 tahun, saya kata mudanya awak dan panggil Ayda sajalah," katanya kepada Harian Metro.

Menurut penyanyi lagu Temberang ini, dia sedar usianya yang meningkat namun, gelaran 'adik' itu memang membuatkan dia berasa lebih selesa dalam berinteraksi dengan semua orang yang mengenalinya.

"Panggil sajalah 'adik' sampai bila-bila sebab saya memang selesa. Saya rasa bila orang panggil dengan gelaran 'adik' itu, dia semacam rapatlah dengan kita," katanya.

Ayda yang kini muncul membintangi drama Bukan Cinta Sempurna sebanyak 50 episod berkata, dia akan bercuti seketika untuk ke Taiwan pada September depan.

"Saya mungkin akan menyambung semula penggambaran drama Bukan Cinta Sempurna itu yang ingin ditambah sebanyak 80 hingga 100 episod. Jadi, peninglah sikit untuk Nabil susunkan jadual.

"Sebabnya, sekarang saya hamil anak kedua lima bulan. Kami cuma bimbang 'konti' akan lari apabila usia kandungan semakin sarat. Tapi, semua itu masih dalam perbincangan yang diuruskan Nabil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2023 @ 11:21 AM