AYDA Jebat cipta sendiri single Mana Ada Hati (Yang Ingin Trus Disakiti) bersama komposer Indonesia, Irwan Simanjuntak. FOTO Khairul Azhar Ahmad
AYDA Jebat cipta sendiri single Mana Ada Hati (Yang Ingin Trus Disakiti) bersama komposer Indonesia, Irwan Simanjuntak. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Najiy Jefri


SEMPENA ulang tahun kelahiran yang ke-27 semalam, penyanyi dan pelakon Ayda Jebat menghadiahkan single bergenre balada kepada peminatnya.

Ayda atau nama sebenarnya, Nur Suhada Jebat berkata, lagu berjudul Mana Ada Hati (Yang Ingin Trus Disakiti) itu didedikasikan khas kepada semua peminat yang tidak pernah berhenti menyokong karier seninya.

"Kebiasaannya, saya mendapat hadiah daripada peminat sempena hari lahir, tetapi tahun ini saya lakukan sesuatu yang berbeza dengan menghadiahkan single balada kepada peminat.

"Peminat sudah lama menantikan karya sebegini dan lagu ini adalah buah tangan istimewa saya kepada mereka,” katanya.

Menurutnya, selepas single Pinjamkan Hatiku mendapat maklum balas positif peminat, dia terfikir untuk mempertaruhkan lagu bergenre balada kali ini.

"Biarpun sebelum ini saya pernah muncul dengan lagu Pinjamkan Hatiku iaitu lagu duet bersama Adi Priyo, saya masih menerima permintaan daripada peminat untuk muncul dengan lagu balada.

"Saya berharap lagu ini dapat menjadi hadiah bermakna untuk mereka yang menantikan karya terbaru dan lebih istimewa, ia dilancarkan pada hari lahir saya semalam,” katanya.

Dicipta sendiri bersama komposer Indonesia, Irwan Simanjuntak, Mana Ada Hati (Yang Ingin Trus Disakiti) adalah lagu tema untuk drama bersiri terbaru lakonan Ayda, Asalkan Dia Bahagia yang kini bersiaran di slot Akasia di TV3.

Drama itu menampilkan gandingan pertama Ayda bersama pelakon Shukri Yahaya.

Lagu terbabit sudah mula diperdengarkan di saluran YouTube Ayda Jebat sejak jam 9 malam tadi dan bakal dilancarkan di semua pelantar digital bermula 29 Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 2:30 PM