NAZREY ketika membuat persembahan pada Majlis Iftar Amal Mualaf Bersama Ustaz Nazrey Johani anjuran Biro Haluan Fitrah Cawangan Negeri Sembilan di Masjid Dato Klana Petra Lela Mohd Yusof, Sikamat. FOTO Azrul Edham
NAZREY ketika membuat persembahan pada Majlis Iftar Amal Mualaf Bersama Ustaz Nazrey Johani anjuran Biro Haluan Fitrah Cawangan Negeri Sembilan di Masjid Dato Klana Petra Lela Mohd Yusof, Sikamat. FOTO Azrul Edham
Ahmad Hasbi

Seremban: Bekas anggota kumpulan nasyid Raihan, Nazrey Johani kini sedang mengumpul dana bagi pembinaan semula sebuah pusat tahfiz kelolaannya di Ranau, Sabah yang rosak akibat tanah mendap, November lalu.

Nazrey menganggarkan pembinaan semula Al Tahfiz Bayu Syahadah di Kampung Bitoon itu boleh mencapai RM6 juta dan kini hanya mampu mengumpul kurang satu peratus daripada kos berkenaan.

Katanya, berikutan bencana alam itu, pusat pengajian berkenaan terpaksa ditutup kerana tidak selamat untuk diduduki dan pelajar dinasihati supaya menyambung pengajian di tempat lain.

"Madrasah itu menempatkan kira-kira 30 pelajar berusia 13 hingga 17 tahun yang mana mereka belajar dan menginap di sana. Apabila berlaku pergerakan tanah, sekitar bawah bangunan madrasah mula mendap, lantainya pecah dan rosak teruk.

"Jadi demi keselamatan anak-anak, kami hentikan operasi pendidikan tahun ini dan dalam usaha mengumpul dana untuk pembinaan semula," katanya yang ditemui pada Majlis Iftar Amal Mualaf Bersama Ustaz Nazrey Johani anjuran Biro Haluan Fitrah Cawangan Negeri Sembilan di Masjid Dato Klana Petra Lela Mohd Yusof, Sikamat, di sini, semalam.

Majlis itu diadakan bagi mengutip dana melalui jualan meja berbuka puasa dan sebahagian daripada kutipan disumbangkan kepada Al Tahfiz Bayu Syahadah.

Mengulas perkembangan terkininya, Nazrey yang popular dengan lagu Iman Mutiara ketika bersama Raihan berkata, beliau kini sibuk dengan kegiatan dakwah di Sabah, namun masih aktif menerima jemputan persembahan, khususnya bagi mengumpul dana baik pulih pusat tahfiz itu.

Beliau juga tidak menolak sekiranya ditawar kerjasama dengan Raihan.

"Demi kebaikan dakwah, saya pada pada bila-bila masa boleh bekerjasama dengan Raihan. (Namun) belum ada rezeki setakat ini walaupun banyak permintaan daripada pelbagai pihak, cuma masih tiada rezeki.

"Saya banyak terbabit dengan Afad yang menggantikan saya di dalam Raihan. Sering juga dapat tawaran membuat persembahan bersama Afad dan pada masa akan datang akan bekerjasama untuk merakamkan beberapa lagu bersama.

"Sebelum PKP saya sempat merakamkan tiga lagu iaitu Sesungguhnya, saya merakam balik lagu Iman Mutiara dan merakamkan semula Sesungguhnya kedua bersama Ariff Bahran," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Haluan, Ir Jailani Yusof berkata, pihaknya berjaya mengutip lebih RM52,000 menerusi program berbuka puasa dan menyumbangkan RM30,000 kepada Al Tahfiz Bayu Syahadah.

"Nazrey sendiri seorang mualaf yang giat menjalankan kerja dakwah dengan mendirikan masjid dan pusat tahfiz di Ranau. Justeru dana besar diperlukan bagi menjalankan kegiatan pengajian fardu ain kepada saudara baru," katanya.

Orang ramai yang mahu menyumbang boleh berbuat demikian melalui akaun CIMB Al Tahfiz Bayu Syahadah Resource 8600627302 atau akaun CIMB Haluan 8601110709.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2022 @ 12:55 PM