NAZREY Johani mahu buat pertemuan secara langsung dengan Raihan, perjelas isu keluar daripada kumpulan itu.
NAZREY Johani mahu buat pertemuan secara langsung dengan Raihan, perjelas isu keluar daripada kumpulan itu.
Ridzuan Abdul Rahman


"SAYA dah agak benda itu memang takkan pernah berhenti. Sebenarnya pasal Nazrey berhenti (keluar) Raihan, ada macam-macam persepsi.

"Padahal saya berhenti itu betul-betul selepas saya buat kerja dakwah 20 hari. Saya dapat bisikan di hati teruskan (berdakwah) baru saya berhenti."

Demikian penjelasan Nazrey Johani berkenaan isu pengundurannya dari kumpulan nasyid terkenal itu yang masih diperkatakan sehingga kini.

Menurutnya, dia sendiri mengundur diri kerana sering berdakwah di negeri kelahirannya, Sabah dan tidak mahu menyusahkan Raihan untuk mengadakan persembahan.

"Saya penyanyi utama. Jadi saya fikir lebih baik saya berhenti. Itu saja. Tapi isu ini takkan habis sampai bila-bila.

"Apapun saya bersyukur kerana disebabkan tular semula isu ini, cerita saya dapat musibah (tahfiz rosak)hari itu pun tular dan orang pun prihatin semula," katanya ditemui selepas menjayakan Konsert Nasyid Legenda di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya, baru-baru ini.

Nazrey bagaimanapun berkata, dia berjanji menerusi TikToknya semasa live, sekiranya mencecah 100,000 followers, insya Allah dia akan telefon Raihan, cari Raihan untuk sesi secara live TikTok.

"Sebabnya Raihan cakap begini dan saya pun cakap benda berlapik. Jadi dua orang ini, Nazrey dengan Raihan selalu cakap kami okey.

"Dalam dua minggu ini saya berfikir agaknya saya betul-betul kena cakap berdepan, kena tanya mereka. Saya sampai begitu kerana risau fasal konsert Raihan.

"Saya sampai fikir biarlah saya rendahkan diri cari mereka dan tanya apa masalah lagi. Dan saya nak live biar semua orang tahu kali ini saya betul-betul pergi tanya," katanya.

Menurutnya jika tidak berbuat demikian masalah ini tidak akan selesai.

"Benda ini kalau kalau 'bercantum' pun belum tentu selesai. Sebab 'kemungkinan' konsert Raihan akan babitkan saya.

"Yang saya nak buat nanti, saya akan tanya, telefon dan face to face. Saya nak selesaikan perkara ini. Tapi dengan syarat 100,000 followers bila saya buat live di TikTok dan Instagram.

"Contohnya saya akan hubungi Che Am dan beritahu apa yang saya nak buat. Sama ada dia suka atau tidak, tak tahulah kan. Tapi benda ini kena selesai. Face to face. Kami ada berjumpa tapi isu antara kami tak pernah dibincangkan," katanya.

Terdahulu Nazrey turut menjalin kerjasama apabila berkolabrasi dengan kumpulan nasyid One Path untuk lagu single Laila Majnun.

Sebelum ini, Che Am berkata pihaknya enggan mengulas lanjut kenyataan yang dikeluarkan oleh Nazrey sebaliknya mahu memberi tumpuan pada konsert yang akan dianjurkan nanti.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai isu membabitkan Raihan dan bekas anggota kumpulannya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2022 @ 6:30 AM