OSAMA Yamani (kanan) bersama anggota kumpulan Rock Ages.
OSAMA Yamani (kanan) bersama anggota kumpulan Rock Ages.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penyanyi yang juga anak kepada Datuk Jamal Abdillah iaitu Osama Yamani, 22, mengembangkan bakat sebagai pemuzik dengan menganggotai kumpulan Rock Ages sebagai pemain gitar utama.

Osama atau nama sebenarnya Osama Yamani Jamal Ubaidillah berkata, dia memang sudah lama bermain gitar, namun memilih menyerlahkan bakatnya sebagai penyanyi dulu.

"Sekarang tiba masanya untuk saya menerokai bidang muzik sebagai pemuzik juga. Asyik menyanyi saja sebelum ini, jadi apabila bersama Rock Ages memberi saya peluang duduk di belakang.

"Saya minat main gitar dan sudah belajar bermain (gitar) secara serius sejak 2014 lagi. Inilah masa untuk saya bermain muzik pula. Malah, saya juga sudah memaklumkan pembabitan ini kepada ayah.

"Dia okay saja dan tidak menghalang saya untuk bermain muzik. Baginya, terpulang kepada saya membuat keputusan dan paling utama kena menjaga nama baik diri dan keluarga," katanya kepada Harian Metro.

Pernah dinobatkan juara Famili Duo musim kedua tahun lalu bersama adiknya, Zaki Yamani, 17, Osama berkata, dia tidak akan sesekali membiarkan Zaki bersendiri.

"Saya dan Zaki akan terus bekerjasama sebagai duo. Cuma, pembabitan dengan kumpulan Rock Ages untuk bermain gitar bagi kepuasan diri saya saja. Bagi saya, main muzik dengan band ini adalah kepuasan seseorang," katanya.

Osama berkata, dia juga yakin sudah mampu berdiri sendiri membina hala tuju kariernya sebagai penyanyi solo dan duo termasuk menjadi pemuzik serentak.

"Saya seronok main muzik sebab memang hobi saya sejak kecil bermain gitar," katanya memaklumkan keputusan menyertai Rock Ages dibuat tahun ini selepas tertarik dengan ajakan rakan kumpulan.

Osama berkata, dia juga yakin Rock Ages mampu pergi jauh dalam bidang muzik jika sering diberi peluang ketengahkan bakat kerana kumpulan itu sudah menghasilkan beberapa single sejak lama dulu.

Selain Osama, Rock Ages dianggotai ahli wanita iaitu Holly sebagai penyanyi, Didi (gitar kedua), Bobo (bass), Kuzen (keybord) dan Ayen Tommy juga anak anggota Wings, Black bertindak selaku pemain dram.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Jun 2023 @ 3:55 PM