Allahyarham Fatimah Idris yang meninggal dunia pada 1 Ogos tahun lalu.
Allahyarham Fatimah Idris yang meninggal dunia pada 1 Ogos tahun lalu.
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Ramadan tahun ini memberi erti berbeza buat penyanyi rock legenda, Amy Search apabila disambut tanpa kehadiran ibu, Allahyarham Fatimah Idris yang meninggal dunia pada 1 Ogos tahun lalu.

Penyanyi berusia 63 tahun itu turut meluahkan rasa sayu selepas menziarahi pusara ibunya di Tanah Perkuburan Seksyen 9, Kota Damansara, baru-baru ini.

Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman berkata, rutin Syawal juga bakal bertukar yang mana kini tiada lagi tangan untuk dikucup bagi memohon keampunan.

"Berbeza sungguh tahun ini, saya menyambut Ramadan tanpa seorang emak. Masa menziarahi pusara arwah, terasa sedih sangat. Ingat lagi dulu, saya akan balik ke Johor Bahru menziarahi pusara ayah sebelum Ramadan.

"Kebiasaannya, seminggu sebelum raya, saya sudah berada di kampung. Masa itu, saya akan kemas rumah, pasang langsir, anyam ketupat dan pergi ke pasar beli keperluan sambut raya.

"Saya akan menyiapkan semua bahan-bahan nak memasak termasuklah menu kegemaran, rendang daging atau paru dan ayam masak hijau. Masa itu emak sudah tak kuat, sayalah yang masak dan dia tunjukkan cara nak menumis semua bahan-bahan.

"Sudah pasti Ramadan tahun ini terasa sangat tanpa ayah dan emak, inikan pula pada pagi hari raya kerana tiada lagi mohon ampunkan dosa-dosa saya," katanya.

Bapa kepada lima cahaya mata itu mengakui ibunya adalah insan yang memahami dirinya tanpa perlu diberikan sebarang penjelasan.

"Emak adalah insan yang memainkan peranan penting dalam hidup saya. Dia yang tahu saat saya bersedih dan gembira. Tak pernah sekali pun saya mengadu kesusahan kepada emak.

"Al-fatihah buat emak dan ayah. Moga Allah SWT tempatkan ayah dan emak di syurga firdaus dengan keredaan-Nya. Amin Ya Rabbal Alamin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2022 @ 3:33 PM