MEGHAN hasilkan lagu untuk J-Lo.
MEGHAN hasilkan lagu untuk J-Lo.
Susunan Georgie Joseph


Penyanyi Meghan Trainor, 22, menyatakan rasa simpati terhadap Jennifer Lopez yang dikecam hebat gara-gara lagu Ain’t Your Mama.

Dia yang bertindak selaku penulis bersama lagu berkenaan mempertahankan Jennifer atau J-Lo meskipun karya itu ada kaitan dengan produser Dr Luke.

“Kasihan J-Lo. Saya yang berikan lagu ini kepadanya dan dia langsung tidak tahu menahu hal itu.

“Dia ingatkan saya yang buat lagu ini di rumah, begitu juga orang lain,” katanya.

Sewaktu memperkenalkan lagu itu di American Idol baru-baru ini, J-Lo dikecam kerana penghasilannya membabitkan produser Dr Luke.

Dr Luke kini berdepan kontroversi selepas disaman Kesha kerana kesalahan mencabul, mendera dan memberikan dadah kepada penyanyi itu.

Menurut Meghan, dia tidak tahu lagu ciptaannya itu ada kaitan dengan produser terbabit sehinggalah hari pelancaran.

“Saya simpati dengan J-Lo apabila dibenci peminat kerana lagu ini.

“Bagi saya situasi ini sangat mengarut. Hakikatnya lagu ini bawa makna yang besar kepada J-Lo dan tak sangka jadi begini,” katanya.

Meghan, J-Lo dan Dr Luke bernaung di bawah Sony Music dan tidak hairanlah kolaborasi itu boleh terbentuk tanpa pengetahuan mereka.

Tegas Meghan, pihak pengurusan yang bertanggungjawab menggandingkan mereka tanpa memaklumkan terlebih dahulu.

Setakat ini, J-Lo belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kontroversi itu.

Terdahulu, Dr Luke dihentam teruk pelbagai pihak bahkan penyanyi popular Lady Gaga dan Kelly Clarkson lantang mempertahankan Kesha.

Berikutan sikap buruk produser itu, ramai menolak bekerjasama dengannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2016 @ 11:13 AM