Zaara Talita


Subang Jaya: Pelakon, Anita Baharom, 39, enggan mengambil pusing dengan kata-kata negatif netizen apabila dia mendirikan rumah tangga tidak sampai setahun selepas Allahyarham suami, Mohd Ismadi Ismail meninggal dunia pada 1 Januari lalu.

Anita yang melangsungkan pernikahan dengan Engku Isyamuddin Tuan Losin, 48, hari ini berkata, perkara baik elok dipercepatkan dan dia juga merujuk kepada beberapa pihak berhubung perkara itu.

"Benda yang baik elok dipercepatkan untuk menjadi halal. Kami lebih tahu diri kami sendiri.

"Kalau ikut hukum, tidak salah dan berdosa untuk berkahwin kerana sudah melepasi tempoh edah. Malah, tiada dalil yang mengatakan kalau tidak cukup setahun (bergelar balu), tidak boleh berkahwin," katanya.

Anita berkata, keputusan yang diambil bukan dibuatnya seorang, tetapi turut dirujuk kepada keluarga, saudara-mara dan beberapa pihak lain. Mereka juga meminta ia dipercepatkan.

Terdahulu, Anita sah bergelar isteri kepada Engku Isyamuddin dengan sekali lafaz, pada jam 11.50 pagi, hari ini di Bizmilla Garden Hall, One City, di sini, yang dihadiri lebih 100 tetamu.

Pasangan itu dinikahkan abang Anita, Zulkifly Baharom dengan mas kahwin berupa tiga dinar emas.

Engku Isyamuddin adalah duda anak lapan dan perkahwinan dengan Anita adalah perkahwinan keempatnya.

Sementara itu, Engku Isyamuddin turut berpendapat perkara yang baik tidak seharusnya ditangguhkan kerana tidak mahu mengundang fitnah.

"Terima kasih kepada Anita yang boleh menerima keluarga besar saya. Alhamdulillah, dia tidak mengambil masa yang lama untuk membiasakan diri.

Majlis akad nikah Anita dan Engku Isyamuddin di Bizmillah One City. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Majlis akad nikah Anita dan Engku Isyamuddin di Bizmillah One City. FOTO HAZREEN MOHAMAD

"Anak-anak saya juga dapat menerima kehadiran Anita sebagai ahli baru dalam keluarga kami," katanya.

Anita turut berharap perkahwinan kali kedua ini dapat membawa sinar buat dirinya dan anak-anak.

"Ini adalah dunia baru bagi saya kerana Allah SWT memberikan peluang kedua kepada saya. Kami berdua berazam untuk menjadi lebih baik termasuklah untuk menjadi isteri yang solehah.

"Saya juga berhasrat untuk menjadi ibu yang lebih baik berbekalkan pengalaman-pengalaman yang lepas. Kisah lalu cukup indah buat saya, namun menjalani masa depan dengan lebih baik.

"Kalau boleh saya ingin bersama-sama berpegangan tangan masuk ke syurga. Dapat juga memperbaiki perangai dan kesilapan terdahulu," katanya.

Menerusi perkahwinan dengan Mohd Ismadi yang juga penerbit televisyen selama 16 tahun, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Syifa Dhia Nurina, 15, Mohamad Dhia Iskandar, 11, dan Mohamad Dhia Mikail, 8.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 3:40 PM