Waris
Waris
Ridzuan Abdul Rahman

 

Kuala Lumpur: Penyanyi rap Waris mendakwa menjadi mangsa permainan pihak tertentu yang memuatnaik video persembahannya pada majlis agama yang kini hangat diperkatakan warganet.

Waris menjelaskan, video yang tular itu adalah video lama yang dipotong dari Instagram TV (IGTV). 

"Perang raih undi dah mula. Yang post video aku nyanyi kat masjid itu pun geng-geng mungkir janji yang muat naik (upload). 

"Video lama yang dipotong dari IGTV. Tahun lepas try tapi tak jadi. Tahun ini dia upload video sama lagi dan dia berjaya 'viral'. 

"Tujuannya nak buat korang (kamu) marah. Aku hanya bahan saja. Hati-hati (Be careful)," katanya. 

Bagaimanapun kenyataan Waris yang turut mengaitkan isu itu dengan turap jalan menimbulkan persoalan dalam kalangan warganet. 

"Semua negeri turap jalan sekarang sebab nak...korang (kamu) pun tau kan...takkan tak faham 'game'. 

"Hati-hati apa yang anda dengar dan salam sayang diri sendiri," tulisnya. 

Terdahulu Waris mengundang rasa kurang senang dalam kalangan netizen apabila menyanyikan lagu Rembau Most Wanted bahagian kedua pada majlis agama baru-baru ini. 

Video itu tular di media sosial dan netizen mempersoalkan tindakan Waris atau nama sebenarnya Muzzammil Alias menyanyikan lagu itu yang dianggap tidak bersesuaian dengan acara berkenaan.

Video pendek berdurasi 16 saat itu mula tular selepas seorang pengguna laman sosial memuat naik di laman Facebook.

Difahamkan, video itu pernah dimuatnaik Waris di Instagram pada 14 November tahun lalu di mana dia membuat persembahan di Masjid Ibnu Khaldun sempena sambutran Maulidur Rasul.  

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 April 2022 @ 11:43 AM