Sissy Imann dan bapanya, Mohammad Kamil.
Sissy Imann dan bapanya, Mohammad Kamil.
Oleh Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penyanyi dan pengacara Muzik Muzik 37, Sissy Imann menegaskan ibu bapanya tidak pernah mengongkong, apa lagi menghalang dia untuk bercinta seterusnya mendirikan rumah tangga.

Sissy atau nama sebenarnya Sissy Imann Mohammad Kamil, 27, berkata bapanya sendiri sudah sering bertanya mengenai cucu, namun sekarang dia yang berasa jodohnya belum sampai lagi.

"Sebenarnya saya ada saja kawan lelaki, tetapi untuk membawa hubungan ke arah lebih serius seperti bercinta, nampaknya belum terfikir lagi. Saya masih ada komitmen kepada keluarga yang perlu diutamakan.

"Lagipun, hanya ayahanda saya seorang saja yang rajin bertanya mengenai bila nak beri dia cucu?, tetapi bonda pula okey dan tak bersuara apa-apa lagi. Jadi, bagi saya ia pertanyaan yang biasa saja," katanya kepada Harian Metro.

Penyanyi lagu Bebas ini juga berkata, dia mendapat kepercayaan penuh daripada ibu bapanya untuk membuat keputusan termasuk memilih pasangan. Cuma, katanya dia yang belum bersedia dan terbuka hati.

"Buat masa sekarang, saya berasa senang dan selesa untuk berkawan saja. Terus-terang, ibu bapa saya hanya memantau dan segala urusan keputusan sepenuhnya saya yang buat sendiri. Mereka (ibu bapa) sama sekali tidak mengongkong saya.

"Apapun, saya tak nafikan memang suka ke mana-mana termasuk pergi bekerja dengan ditemani ibu bapa dan adik-beradik. Saya rasa lebih gembira dan selamat sekiranya kami sekeluarga sentiasa bersama," katanya.

Mengulas juga sikapnya yang mungkin 'demand' untuk memilih pasangan hidup, Sissy berkata sebagai wanita, dia mahukan calon teman hidup yang boleh menerima dirinya dan juga ibu bapa serta adik-beradik yang lain.

"Dalam mencari pasangan ini, saya berdoa akan dipertemukan jodoh dengan seseorang yang boleh menerima saya seadanya termasuk  ibu bapa serta semua ahli keluarga dengan seikhlas hati.  

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2022 @ 7:32 PM