Taylor Hawkins
Taylor Hawkins
Agensi

Los Angeles: Pemain dram Foo Fighters, Taylor Hawkins meninggal dunia pada usia 50 tahun.

Pengumuman berita duka itu dibuat menerusi media sosial kumpulan berkenaan hari ini. Bagaimanapun tiada butiran lanjut mengenai kematiannya.

Menurut kenyataan itu, pemergiannya disifatkan satu kehilangan yang cukup tragik dan akan dirindui.

"Keluarga Foo Fighters sangat bersedih dengan pemergian tragik dan tidak disangka kesayangan kami Taylor Hawkins. Roh muzikal dan tawanya akan terus hidup dengan kita," demikian pengumuman itu.

Kumpulan itu juga meminta jasa orang ramai untuk memberikan ruang peribadi kepada keluarga mendiang atas kehilangan cukup besar itu.

Hawkins menjadi anggota Foo Fighters yang cukup bertahan lama sejak kumpulan itu ditubuhkan. Dia turut berlakon dalam filem Studio 666.

Dia menggantikan pemain dram terdahulu William Goldsmith pada 1997. 

Hawkins meninggalkan isteri Alison dan tiga anak mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2022 @ 1:33 PM