AFDLIN Shauki
AFDLIN Shauki
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Pelakon dan pengarah, Datuk Afdlin Shauki akur apabila disahkan positif Covid-19 pada 12 Februari lalu selepas lebih dua tahun berhati-hati dan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) daripada terkena jangkitan.

Afdlin berkata, dia kini menjalani kuarantin di pejabat bersama enam rakan sekerjanya di Petra Vision Works yang turut positif virus itu.

"Saya buat ujian RTK Antigen. Mula-mula nampak negatif tapi selepas tunggu 15 minit, tiba-tiba garis kedua keluar samar-samar. Saya membuat ujian saringan kesihatan kerana apabila saya bangun pagi badan rasa tak sedap dan saya muntah yang sangat banyak.

"Kemudian saya mula rasa selsema diikuti pening kepala, kemudiannya demam, sakit sendi dan akhirnya batuk. Bagaimanapun saya kini berada dalam keadaan positif mental, walaupun positif Covid-19.

"Tiada sakit tekak atau masalah pernafasan. Kandungan oksigen dalam badan pun pada tahap selamat. Begitu juga dengan enam rakan saya yang dijangkiti. Ada yang ada gejala dan ada juga yang tiada," katanya.

Afdlin berkata, dia bersyukur kelengkapan di pejabat itu memudahkan mereka menjalani tempoh kuarantin.

"Saya melakukan kuarantin di pejabat kerana ia lengkap dengan tempat rehat yang bertujuan memudahkan mereka yang berkerja lebih masa untuk berehat.

"Jadi, saya melakukan kuarantin di sini saja. Namun, hanya satu tingkat pejabat dibuka dan satu lagi ditutup. Kami semua sedang memantau keadaan, makan ubat dan mematuhi SOP ditetapkan kerajaan," katanya.

Terdahulu, Afdlin berkongsi khabar duka itu menerusi hantaran di Instagram yang turut disertakan dengan paparan skrin status MySejahtera.

Sementara itu, Afdlin tidak menafikan banyak kerjanya yang tergendala disebabkan jangkitan berkenaan dan dalam pada masa sama memohon maaf sekiranya dia tidak dapat menjawab sebarang panggilan.

"Banyak juga kerja tergendala tapi saya anggap ujian ini adalah kehendak Allah SWT yang mahukan saya berehat seketika dan melupakan kerja di dunia dan fokus kepada diri saya.

"Saya memohon maaf jika saya tak menjawab telefon atau mesej WhatsApp. Saya sedang berusaha untuk melawan Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Februari 2022 @ 4:24 PM