YAZMIN akui banyak rezeki dan keberkatan diterimanya dalam bulan Ramadan.
YAZMIN akui banyak rezeki dan keberkatan diterimanya dalam bulan Ramadan.
Syafil Syazwan Jefri


Bulan Ramadan menjadi bulan yang dinanti-nantikan setiap umat Islam termasuk penyanyi berdarah campuran Malaysia-Filipina, Yazmin Aziz.

Baginya, kehadiran Ramadan bukan sekadar menjadi bulan penuh keberkatan, tetapi juga bulan penuh rezeki buatnya sebagai anak seni.

"Bila berbicara mengenai Ramadan, perkara pertama yang terlintas di fikiran saya adalah keluarga berkumpul dan berbuka puasa bersama-sama.

"Satu lagi perkara yang membuatkan saya rasa sangat gembira setiap kali bulan Ramadan menjelma adalah rezeki yang mencurah-curah.

"Bila dapat sempurnakan bulan Ramadan itu, rasa puas yang tidak dapat digambarkan," katanya.

Menurutnya, dia sendiri dapat berasakan pintu rezeki itu terbuka luas di samping pelbagai juadah enak sepanjang Ramadan.

"Memang setiap kali Ramadan, saya dapat lihat sendiri pintu rezeki itu terbuka luas untuk saya. Pelbagai rezeki Allah turunkan untuk saya.

"Selain itu, satu lagi keterujaan buat saya sebagai 'kaki makan' adalah juadah enak yang tersedia sepanjang Ramadan. Walaupun ada ketikanya saya menjaga pemakanan, tapi tak mengapa kerana Ramadan hanya muncul setahun sekali," katanya.

Menurut Yazmin, dia juga sudah mula menerima beberapa tawaran kerja.

"Setakat ini ada beberapa jemputan untuk membuat ulasan sempena Aidilfitri dan sebagainya. Insya-Allah akan ada lagi beberapa projek sempena Ramadan dan Aidilfitri.

"Saya rasa Ramadan yang paling meriah adalah tahun lalu ketika saya menyertai Big Stage. Program itu membuka banyak peluang untuk saya.

"Saya harap tahun ini juga akan sama seperti tahun lalu," katanya.

Sebelum ini, Yazmin juga terbuka berkongsi mengenai kekasihnya, Austin Veloso yang menunjukkan minat kepada budaya Melayu dan agama Islam.

"Kekasih saya bukan orang Islam, tapi dia sangat menghormati Islam. Saya pun nak perkenalkan budaya kita kepada dia contohnya nak belikan baju Melayu untuk dia juga. Dia pun suka tengok baju Melayu.

"Dia berdarah campuran Filipina, Sepanyol dan Portugis, tapi berasal dari Kanada. Tapi, sekarang dia menetap di Hong Kong kerana bermain untuk satu kelab bola keranjang di sana.

"Kalau dia berpuasa dalam Ramadan tahun ini, ia akan menjadi pengalaman puasa pertama buatnya. Apa yang boleh saya katakan, dia terbuka untuk mencuba," katanya.

Menurutnya, ibadah puasa yang dilakukan umat Islam sedikit sebanyak membuatkan Austin kagum.

"Dia ada bertanya, orang Islam akan berpuasa selama sebulan? Saya beritahu kepadanya memang sebulan dan dia rasa sangat kagum," katanya.

Berkongsi lebih lanjut mengenai cinta, Yazmin adalah wanita yang berterus terang dan berpegang dengan prinsipnya.

"Sebelum meneruskan dengan hubungan cinta, saya jenis orang yang akan berterus terang. Saya akan jelaskan bahawa saya orang Islam, apa yang boleh dan tak boleh saya lakukan.

"Kalau kamu terima, okay. Kalau tidak, tak mengapa," katanya.

Bercerita lanjut mengenai kisah cinta, Yazmin yang kini menjengah usia 22 tahun lebih cenderung untuk membawa hubungan cintanya menuju alam perkahwinan.

"Memang ada perancangan untuk melangkah ke fasa seterusnya. Saya pun sekarang menghabiskan pengajian saya.

"Saya jenis yang bercinta untuk berkahwin. Saya tak mahu bazirkan masa. Kalau dia jodoh saya, maka dia orangnya," katanya.

Pada masa sama, dia turut membantu Austin utnuk mengadaptasi kehidupannya, memandangkan Yazmin adalah selebriti dan memiliki ramai pengikut di media sosial.

"Pada awalnya, dia agak terkejut juga apabila perlu berdepan tempias populariti. Tapi, dia faham kerja saya bagaimana. Kalau ada artikel yang keluar, dia akan bertanya kepada saya, apa cerita dalam artikel itu.

"Kalau ada isu, dia yang akan menenangkan saya dengan kata-kata positif," katanya.

Yazmin juga begitu teruja apabila dapat berkongsi kebahagiaannya dengan peminat. Tapi, yang membuatkan saya gembira adalah apabila saya perkenalkan dia kepada pengikut di media sosial, ramai yang memberikan komen positif.

"Saya tak sangka juga sebenarnya, dalam hubungan sebelum ini, ramai melontarkan komen negatif. Jadi, saya rasa pengikut saya pun dapat rasa aura positif dia dibawakan dan mereka pun ada yang memberitahu saya bahawa dia adalah orang yang terbaik untuk saya," katanya.

Terbaharu, Yazmin bakal hadir dengan buah tangan terbaharu single berjudul Stolen hasil kerjasama dengan penerbit, DJ Fuzz.

"Saya akan hadir dengan single berjudul Stolen yang saya cipta sendiri pada 2018. Selepas menyimpan karya itu agak lama dan mencari penerbit yang kena dengan jiwa saya, akhirnya saya berjumpa dengan DJ Fuzz.

"Jadi, dia bertindak sebagai penerbit untuk lagu ini. Insya-Allah, ia akan dilancarkan menjelang Mei depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2023 @ 6:00 AM