KILAFAIRY anggap SOP tidak rencat lebaran kerana ramai rakan turut berada di ibu kota. Foto : Getaran.my
KILAFAIRY anggap SOP tidak rencat lebaran kerana ramai rakan turut berada di ibu kota. Foto : Getaran.my
Najiy Jefri


WALAUPUN Aidilfitri kali ini diraikan dalam keadaan yang cukup sederhana berikutan peningkatan kes positif Covid-19 dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun ia tidak menghalang penyanyi dan pelakon Kilafairy untuk merayakan hari mulia itu dengan meriah.

Mengakui tidak terkesan dengan pengumuman yang dibuat kerajaan sempena sambutan Aidilfitri tahun ini, Kilafairy atau mesra disapa Kila berkata, saban tahun dia akan menyambut Aidilfitri di Kuala Lumpur bersama keluarganya.

Bagaimanapun, kemeriahan Aidilfitri sedikit 'suram' memandangkan tidak dapat menghadiri majlis hari raya berikutan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

"Sebenarnya saya tidak terkesan sangat sebab setiap tahun saya akan menyambut Aidilfitri bersama keluarga di Kuala Lumpur.

"Lagipun, kawan-kawan pun ramai yang sambut Aidilfitri di sini. Cuma yang membezakan adalah saya tidak dapat nak keluar berhari raya atau menghadiri majlis rumah terbuka.

"Walaupun kemeriahan Aidilfitri tahun ini sama seperti tahun lalu, saya bersyukur kerana masih dapat menyambutnya bersama keluarga. Apa yang membezakan ialah kemeriahan itu tidak seperti dulu," katanya.

Lebih mendalami agama

Siapa sangka, Aidilfitri tahun lalu menjadi detik paling indah dalam hidup gadis berusia 29 tahun ini apabila memilih untuk memakai tudung sepenuhnya.

Hampir setahun mengenakan tudung, Kila meluahkan rasa syukur kerana tidak berdepan sebarang kesulitan selepas mengambil keputusan untuk bertudung.

"Apabila sudah sampai waktu untuk bertudung, saya tidak berdepan sebarang kesukaran. Malah, rakan-rakan selebriti pun ramai yang hantar mesej peribadi kepada saya mengenai penghijrahan ini.

KILA sudah ada perancangan untuk melangkah ke fasa seterusnya dengan jejaka pilihan hati. Foto : Getaran.my
KILA sudah ada perancangan untuk melangkah ke fasa seterusnya dengan jejaka pilihan hati. Foto : Getaran.my

"Sebenarnya ramai selebriti yang masih belum bertudung teringin nak bertudung, tapi masa mereka belum tiba. Apa yang mampu saya katakan, jangan putus berdoa jika inginkan perubahan dalam hidup," katanya.

Menurut Kila, sejak memilih untuk bertudung, dia kini lebih terbuka hati untuk mendalami ilmu agama dan begitu teruja selepas mempelajari banyak perkara indah mengenai Islam.

"Sejak mengenakan tudung saya lebih teruja nak ambil tahu mengenai agama. Banyak perkara yang saya nak tahu dan nak cuba buat. Kalau dulu saya buat apa yang wajib saja tapi sekarang selepas tahu ganjaran yang bakal diperoleh saya cuba tunaikan dengan sebaik mungkin.

"Saya juga ada memanggil ustazah untuk mengajar saya di rumah. Boleh dikatakan seminggu sekali dia akan datang dan berkongsi pelbagai ilmu kepada saya.

"Penghijrahan ini benar-benar membuka mata saya dan saya belajar banyak perkara dengan lebih terperinci," katanya.

Menurut Kila lagi, tawaran yang diterima selepas memakai tudung juga tidak putus dan ibarat seperti air yang mengalir.

"Tawaran lebat dan macam air. Sebelum memilih untuk bertudung saya tak pernah fikir fasal tawaran dan impak kepada diri. Tak sangka selepas bertudung tawaran itu sentiasa ada dan cukup luar biasa. Saya harap ia tidak akan putus atau terhenti," katanya.

Belum ada tarikh nak kahwin

Bercerita mengenai kisah cintanya dengan Sa'aid Umar Aiman, Kila berkata, perancangan untuk melangkah ke fasa seterusnya sentiasa ada tapi belum tiba masa untuk dikongsikan kepada umum.

"Tipulah kalau tiada perancangan untuk ke fasa seterusnya. Kalau sudah ada tarikh yang ditetapkan saya pasti akan kongsikan kepada umum," katanya.

Kilafairy sebelum ini berkongsi mengenali teman lelakinya itu ketika di sekolah lagi, namun mula menjalin cinta sejak setahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 6:00 AM