NIEZAM Zaidi
NIEZAM Zaidi
Zaara Talita


Kuala Lumpur : Pelakon Niezam Zaidi, 30, mencari individu yang sudah menyebarkan maklumat peribadi dan alamat kediaman keluarganya yang menjadi tular di media sosial.

Niezam yang sebelum ini pernah menjadi tular di media sosial apabila ditahan atas dakwaan mengguna dan memiliki dadah meluahkan rasa marah apabila ada pihak 'menyentuh' keluarganya. 

"Alhamdulillah, terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan dan memberikan kata-kata semangat buat saya. Saya sudah lama bersabar, hendak usik saya tidak apa-apa tetapi jangan keluarga saya.

"Malah, saya juga tidak marah apabila ada pihak yang hendak membuka aib saya. Tetapi bukan sehingga mengusik keluarga saya. Hendak viralkan saya tidak apa, tetapi ini sudah membabitkan keluarga.

"Jika anda yang merupakan dalang di sebalik semua ini, saya hendak awak datang mencari saya kerana saya ingin tahu apa motif awak bersikap sedemikian," katanya tegas.

Terdahulu, Niezam menerusi paparan di Instagram Stories miliknya membuat luahan mengenai perkara itu.

Niezam juga mengaku bersalah di atas pertuduhan memiliki dan memasukkan dadah ke dalam badan, pada Oktober tahun lalu didenda sebanyak RM4,000 atau penjara 10 bulan di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, hari ini.

Majistret Mohd Shazmeer Zamhari turut memerintahkan Niezam atau nama sebenar Muhamad Niezam Mohd Zaidi menjalani tempoh pengawasan selama dua tahun.

Menerusi laporan Harian Metro dan berdasarkan pertuduhan pindaan yang dibacakan hari ini, Muhamad Niezam didakwa ada dalam milikannya 0.6 gram (g) dadah jenis kanabis di sebuah rumah di Persiaran Jati, Taman Chandan Putri, kira-kira 7.10 pagi, 10 Oktober 2021 iaitu kesalahan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 January 2022 @ 8:07 PM