Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
am@hmetro.com.my

Kuala Kangsar: Mahkamah Majistret di sini, hari ini, menetapkan 10 Januari depan sebagai tarikh baharu sebutan semula kes pelakon, Muhamad Niezam Mohd Zaidi bersama pengarah filem dan penolongnya yang masing-masing mengaku bersalah atas kesalahan memiliki dadah.

Majistret Mohd Shazmeer Zamhari membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syuhada Muhammad Lutfi memohon satu tarikh baharu dalam tempoh sebulan untuk menyerahkan laporan kimia yang belum tersedia berkaitan kes itu.

Ketiga-tiga tertuduh menghadiri prosiding yang berlangsung hari ini dengan berpakaian kasual.

Sebelum ini, Mohd Shazmeer menetapkan tarikh 1 Disember 2021 iaitu hari ini untuk sebutan semula kes ketiga-tiga tertuduh sementara menunggu laporan kimia.

Muhamad Niezam bersama pengarah filem, Mohd Latiff Zami, 49, serta penolong pengarah, Saiful Zaidrin Ismail, 46, sebelum ini masing-masing didakwa ada dalam milikan mereka dadah di sebuah rumah pada Oktober lalu.

MUHAMAD Niezam (kanan), Mohd Latif (tengah) dan Saiful Zaidrin pulang selepas menghadiri perbicaraan di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, hari ini. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
MUHAMAD Niezam (kanan), Mohd Latif (tengah) dan Saiful Zaidrin pulang selepas menghadiri perbicaraan di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, hari ini. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Muhammad Niezam didakwa memiliki 1.15 gram (g) dadah jenis kanabis manakala Mohd Latiff dan Saiful Zaidrin pula masing-masing didakwa memiliki 0.3g kanabis serta 0.38g dadah jenis methamphetamine.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Persiaran Jati, Taman Chandan Putri, di sini, jam 7.15 pagi 10 Oktober lalu.

Muhamad Niezam dan Mohd Latiff didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Saiful Zaidrin pula didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah juga sebelum ini menetapkan untuk ketiga-tiga tertuduh dibenarkan untuk diikat jamin masing-masing dengan seorang penjamin membabitkan nilai RM3,000 ke atas Muhamad Niezam, Mohd Latiff (RM2,600) dan Saiful Zaidrin (RM3,200).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 10:24 AM