Pelakon drama Kisah Cinta Kita, Aedy Ashraf dan Amelia Henderson.
Pelakon drama Kisah Cinta Kita, Aedy Ashraf dan Amelia Henderson.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Berita baik buat peminat drama Kisah Cinta Kita (KCK) yang mana babak tidak ditayangkan di televisyen boleh ditonton di saluran YouTube A Aida Production bermula jam 6 petang, hari ini.

Penerbitnya, Datuk A Aida berkata, biarpun drama 28 episod itu sudah berakhir semalam, pihaknya masih mendapat banyak permintaan daripada penonton yang mahukan drama itu ditayangkan semula.

"Memandangkan setiap episod terdapat babak yang penyunting terpaksa potong sebab tidak mahu 'over-run' di kaca TV, jadi saya putuskan untuk siarkan babak itu di YouTube. Sekurang-kurangnya penonton masih boleh terus mengikuti cerita ini.

"Dalam masa sama, kami nak tunjuk yang mana babak yang sudah dibuat itu juga menarik. Tapi disebabkan had masa ditetapkan stesen TV iaitu 43 minit setiap episod, jadi kita tidak boleh siarkan. Pendek kata ini adalah hadiah buat semua penyokong drama ini," katanya kepada Harian Metro.

Menurut A Aida, tayangan di YouTube itu membabitkan 26 episod kecuali episod lima dan sembilan.

"Sayang nak buang babak yang sudah 'shoot'. Cuma, episod lima dan sembilan saja tidak ada yang 'over-run'. Episod selebihnya ada banyak. Jadi, kalau di kaca TV ada 28 episod, di saluran YouTube hanya 26 episod," katanya.

Terdahulu, drama lakonan Aedy Ashraf dan Amelia Henderson itu 'trending' nombor satu di Twitter.

A Aida berkata, atas sambutan baik yang diterima, dia merancang untuk menerbitkan KCK musim kedua selepas ini.

"Allhamdulillah, terima kasih pada semua peminat KCK. Insya-Allah kita cuba cadangkan KCK2, harapnya pihak TV3 bagi lampu hijau," katanya.

Selain Aedy dan Amelia, KCK turut dibarisi pelakon hebat lain seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Maria Farida, Khaty Azean dan Ikmal Amry.

Sementara lagu tema drama ini dinyanyikan Usop berjudul Sejarah Cintaku serta dua lagi lagu lain iaitu Berakhirlah Pencarianku (Hafiz Suip dan Ernie Zakri) dan Duri (Ahmad Syafiq).

Drama bersiri ini mula bersiaran pada 26 November lalu di Slot Akasia, TV3, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7 malam.

Penonton juga boleh menyaksikannya di platform penstriman Disney+ Hotstar Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 7:05 PM