Babak dalam drama Kisah Cinta Kita lakonan Datuk Jalaludin Hassan, Amelia Henderson dan Aedy Ashraf.
Babak dalam drama Kisah Cinta Kita lakonan Datuk Jalaludin Hassan, Amelia Henderson dan Aedy Ashraf.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Penerbit Datuk A Aida sanggup berhabis dan menambah kos penerbitan drama Kisah Cinta Kita yang ditayangkan di Slot Akasia di TV3 bermula hari ini.

A Aida berkata, dia tidak kisah mengenai kos asalkan dia berpuas hati dengan hasil drama itu yang diarahkan Riza Baharudin.

"Untuk drama yang ditayangkan di slot ini saya memang 'all out' dan berapa bajet pun tak kisah. Ini sebab saya nak berikan yang terbaik dan apa yang yang penting saya puas hati.

"Bajet memang tinggi sebab semua prop seperti kereta, rumah dan apa saja lokasi kena yang mewah. Malah dalam drama ini semua kereta mewah saya juga digunakan," katanya kepada Harian Metro.

Menurut A Aida, dia mahu drama Kisah Cinta Kita ini mengulangi kejayaan drama terbitannya sebelum ini juga di slot sama iaitu Bidadari Salju.

Disebabkan itu, A Aida berkata, kebanyakan babak adalah romantis.

"Cerita ni saya buat ala-ala drama Korea. Saya minta penulis skrip banyakkan babak yang 'sweet' dan manja. Babak cinta saya wajibkan pengarah buat babak manja ala Korea.

"Malah, untuk montaj pembukaan dan penutup saya sendiri yang buat skrip dan buat penyuntingan. Saya tak percaya pada orang lain, sebab dari pembukaan montaj itulah kita nak tarik orang tengok," katanya.

Drama ini menampilkan pelakon utama Aedy Ashraf dan Amelia Henderson serta beberapa pelakon lain seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Maria Farida, Khaty Azean, Ikmal Amry dan ramai lagi.

Lagu tema drama ini dinyanyikan Usop berjudul Sejarah Cintaku serta dua lagi lagu iaitu Berakhirlah Pencarianku (Hafiz Suip dan Ernie Zakri) dan Duri (Ahmad Syafiq).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 November 2021 @ 3:55 PM