TERAJU utama drama Kisah Cinta Kita, Aedy dan Amelia.
TERAJU utama drama Kisah Cinta Kita, Aedy dan Amelia.
Norhayati Nordin

PADA ketika ini drama Kisah Cinta Kita yang disiarkan slot Akasia TV3, jam 7 malam, cukup menjadi perhatian ramai. Bukan hanya kerana lakonan yang mantap, tetapi didakwa meniru beberapa babak drama popular Korea Selatan.

Antara babak ditiru itu dikatakan diambil daripada drama Descendants of The Sun dan My Girl hingga tular di media sosial seperti TikTok hingga menjadi bualan hangat dalam kalangan netizen.

Mengulas mengenai dakwaan itu, pengarahnya Riza Baharudin menafikan dia meniru babak daripada dua drama Korea berkenaan sebaliknya menjelaskan sekadar menjadikan ia sebagai inspirasi kerana jalan cerita pun tidak sama.

"Ketika buat keputusan untuk cuba membuat babak berkenaan, saya terfikir juga pasti akan ada penonton yang perasan. Namun, ia diambil sekadar inspirasi untuk mewarnai adegan antara Amer dan Aleesa yang dilakonkan Aedy Ashraf bersama Amelia Henderson.

"Apa pun, secara keseluruhan penceritaan yang dibawa dalam drama Kisah Cinta Kita tiada persamaan dengan mana-mana K-Drama. Cuma, saya ada ambil inspirasi menerusi beberapa babak itu.

"Tujuannya pun sebagai strategi untuk mempromosikan drama ini kerana dari awal saya sudah menjangka ia akan menjadi tular dan penonton pasti akan mendakwa saya meniru K-Drama," katanya pada sidang media secara virtual.

Menurut Riza, dia tetap mengharapkan penonton memberi sambutan yang baik terhadap drama Kisah Cinta Kita. Katanya, karya itu menarik kerana ia tidak diadaptasi daripada novel dan skripnya dihasilkan penulis berkaliber.

Justeru, antara babak tular yang menjadi inspirasi Riza itu ialah ketika Aedy dilihat menepis telefon bimbit yang dipegang Amelia dan kemudian disambut sebelah tangan, termasuk satu babak dalam kereta yang menyerupai drama My Girl.

Berbicara juga mengenai pandangannya terhadap kritikan netizen, Riza berkata, dia gemar mengambil positif saja dan okey dengan segala komen itu sebagai peniup semangatnya untuk terus berkarya.

"Bagi saya, sama ada baik atau buruk komen yang diberikan oleh netizen itu tak mengapa dan ambil positif saja. Saya terima semua komen itu dengan terbuka dan tenang hati supaya dapat lebih memajukan diri pada masa akan datang.

"Komen negatif pada saya takkan menjadi halangan untuk terus berkarya. Ia adalah suntikan semangat untuk saya setiap kali mengarahkan drama dan berusaha mencari kreativiti terbaik demi menghibur penonton," katanya.

Drama Kisah Cinta Kita yang mempunyai 28 episod memulakan penggambaran pada April lalu. Bagaimanapun, akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana awal Jun lalu, ia diberhentikan hampir empat bulan dan penggambaran dijalankan semula pada Oktober lalu.

Selain Aedy dan Amelia, drama Kisah Cinta Kita membariskan pelakon lain seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Ikmal Amry, Daniella Sya, Khaty Azean, Arash Mohd dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Disember 2021 @ 6:30 AM