DIDIKTV KPM menerusi platform ntv7 dedah murid tugasan wartawan sebenar.
DIDIKTV KPM menerusi platform ntv7 dedah murid tugasan wartawan sebenar.
Sudirman Mohd Tahir


Saluran hub pendidikan Malaysia, DidikTV KPM menerusi platform ntv7 kini memberi peluang kepada murid berusia tujuh hingga 17 tahun untuk menjadi wartawan penyiaran muda.

Aktiviti menarik ini dianjurkan khas untuk memberi pendedahan awal kepada murid mengenai bidang kewartawanan menerusi kempen Skuad Didik.

Menurut Ketua Pegawai Operasi ntv7, Seelan Paul, kempen Skuad Didik dihasilkan untuk memberi peluang kepada murid menjadi wartawan cilik dan memberi pendedahan kepada mereka tugasan wartawan yang sebenar.

"Bukan sekadar membaca berita sahaja, namun mereka juga perlu mencari bahan berita yang sahih untuk disampaikan kepada penonton. Pada masa sama, mereka juga dapat menimba ilmu daripada pengacara, bahagian teknikal mengenai pengendalian kamera dan wartawan kami.

"Menariknya kempen ini, kami dapat melihat pelbagai kerenah mereka menerusi video berpasangan (duet) bersama-sama pengacara sebenar. Situasi ini bukan sahaja menghiburkan, malah kita yang dewasa pun dapat memahami kemahuan dan keperluan anak-anak muda kita yang bakal menerajui negara kita nanti," katanya.

Kempen Skuad Didik ini bermula 26 November lalu dan berakhir pada hari ini. Pelbagai aktiviti menarik sudah diatur khas buat murid-murid bagi menonjolkan bakat terpendam mereka dan mana tahu ia juga dapat merealisasikan impian mereka suatu hari nanti!

PENGACARA di DidikTV Christopher Matthew Jacob bersama antara peserta yang terpilih menyertai Skuad Didik.
PENGACARA di DidikTV Christopher Matthew Jacob bersama antara peserta yang terpilih menyertai Skuad Didik.

"Kami menerima sambutan yang menggalakkan daripada murid-murid dan setakat ini lebih daripada 100 penyertaan diterima oleh pihak kami. Menariknya, video cabaran berpasangan ini bukan sahaja diterima daripada murid-murid, malah ia turut menarik minat pembabitan daripada pengguna media sosial yang lain seperti guru, pempengaruh (influencer) dan personaliti televisyen.

"Ini satu peluang keemasan yang perlu direbut setiap murid kerana dapat membuka mata mereka untuk mengenali dunia kerjaya dengan lebih mendalam," katanya.

Menerusi kempen Skuad Didik ini, murid dapat mempelajari sedikit sebanyak tugas wartawan penyiaran. Malah, ia dapat membentuk sahsiah diri, keyakinan diri dan memperbaiki kemahiran berkomunikasi dengan orang sekeliling.

Hanya 10 finalis terbaik bakal dipilih dan berpeluang menyertai Bengkel Latihan di DIDIKTV KPM dan belajar bersama pengacara dan pembaca berita berpengalaman di Rangkaian Televisyen Media Prima.

Murid yang berjaya mengharungi tugasan yang diberi sehingga peringkat akhir akan bergelar juara dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,500. Tempat kedua bakal menerima wang tunai RM1,000 dan tempat ketiga RM500. Tujuh hadiah sagu hati bernilai RM200.00 bersama produk DIDIKTV KPM.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Disember 2021 @ 6:40 AM