LANGKAH mudah pengurusan kewangan menerusi Skuad Didik DuitNow, Gen E-Duit.
LANGKAH mudah pengurusan kewangan menerusi Skuad Didik DuitNow, Gen E-Duit.
Suliati Asri


Kuala Lumpur: Penerapan ilmu pengurusan kewangan kepada golongan muda adalah sangat penting lebih-lebih lagi kini dunia semakin ke arah tanpa tunai.

Justeru, dalam memperkasakan literasi kewangan dengan cara yang menyeronokkan, Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) dan Kumpulan Media Prima berkolaborasi melancarkan Skuad Didik DuitNow, Gen E-Duit.

Ketua Pegawai Eksekutif, ntv7 (DIDIKTV KPM) Seelan Paul berkata, kempen Skuad Didik DuitNow, Gen E-Duit ini amat penting untuk diterapkan kepada murid-murid seawal mungkin yang secara tidak langsung dapat membantu mereka menguruskan kewangan apabila meningkat dewasa.

Katanya, pendekatan yang disampaikan adalah menerusi kaedah yang mudah dan senang untuk difahami atau dengan kata lain dengan cara yang menyeronokkan.

"Untuk lebih memudahkan mereka memahami konsep kewangan mereka diberi peluang untuk menyampaikan skrip yang menyentuh topik kewangan secara berduet.

"Cara sebegini sedikit-sebanyak dapat menarik minat murid-murid dan sekaligus memupuk sikap celik kewangan dalam kalangan mereka," katanya.

HADIAH menarik menanti pemenang bertuah.
HADIAH menarik menanti pemenang bertuah.

Dilancarkan bersama Pengarah PayNet Khairuan Abdul Rahman ketika Karnival Jom Heboh (KJH) di Puteri Harbour, Johor baru-baru ini, Skuad Didik DuitNow, Gen E-Duit menampilkan program literasi kewangan berkonsepkan kandungan 'Edutainment' dihasilkan pengguna bagi memupuk literasi kewangan dan membudayakan pembayaran digital di kalangan Gen Z.

Objektif program ini adalah untuk mendidik murid-murid mengenai kepentingan celik kewangan terutamanya literasi pembayaran digital, selaras dengan Strategi Kebangsaan Celik Kewangan Malaysia.

Ia juga akan memberi penekanan kepada kelebihan pembayaran digital yang selamat, senang dan segera akan turut diberi.

Menariknya, program ini juga akan memberi pendedahan kepada pelbagai jenis produk-produk pembayaran digital kendalian PayNet seperti JomPAY (pembayaran bil), DuitNow (pemindahan wang atau pembayaran melalui kod QR kebangsaan), FPX (pembayaran e-dagang) dan pembayaran dengan kad debit ATM MyDebit.

Ia selaras dengan usaha PayNet dan pemain industri kewangan tempatan untuk merapatkan jurang literasi kewangan dalam kalangan rakyat negara ini terutamanya dalam penggunaan pembayaran digital memandangkan kaji selidik Bank Negara Malaysia mendapati seorang daripada tiga rakyat Malaysia masih merasakan mereka kurang pendedahan kepada pendidikan kewangan.

Konsep 'edutainment' seumpama ini bukan saja menarik dan menghiburkan, ia juga senang difahami dan mudah untuk dikongsikan generasi muda bersama rakan dan keluarga terdekat mereka.

Skuad Didik DuitNow, Gen E-Duit ini tidak hanya memupuk literasi kewangan tetapi kempen ini juga memberi inspirasi kepada pembelajaran melalui penyertaan dalam membabitkan bengkel kewartawanan TV dengan menggabungkan produk dan perkhidmatan di bawah PayNet.

Murid-murid boleh mengambil bahagian dalam mengetengahkan bakat mereka di depan kamera sebagai pengacara atau penyampai dengan hanya memuat naik laporan duet-video di platform media sosial TikTok menggunakan tanda pagar #SkuadDidikDuitNow dan #GenE-Duit.

Penyertaan semasa yang dibuka kepada murid berusia antara 10 hingga 16 tahun amat menggalakkan dan akan berakhir pada 15 Februari.

Sebanyak 30 penyertaan kandungan TikTok terbaik berpeluang mengikuti bengkel Skuad Didik DuitNow, Gen E-Duit yang akan diadakan pada 11 Mac 2023.

Bukan itu saja, pemenang utama akan membawa pulang wang e-tunai berjumlah RM2,000, sijil penyertaan dan barangan eksklusif dari DIDIKTV KPM dan PayNet.

Tempat kedua akan membawa pulang e-tunai berjumlah RM1,000, sementara tempat ketiga menerima e-tunai berjumlah RM500.

Seramai 27 peserta lain tidak akan pulang dengan tangan kosong kerana mereka juga bakal menerima saguhati e-tunai berjumlah RM200 setiap seorang.

Untuk maklumat lanjut mengenai penyertaan program Skuad Didik Duitnow, Gen e-Duit, layari laman sesawang rasmi www.xtra.com.my/skuaddidikduitnow.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2023 @ 12:49 PM