Syafil Syazwan Jefri


SIAPA sangka, daripada sekadar impian, kini mimpi pelakon dan pengacara, Nabil Ahmad menjadi kenyataan apabila siri animasinya, Lu Pikir La Nabil mula ditayangkan secara rasmi pada 14 Oktober lalu.

Lebih membuatkan pengacara program MeleTOP dan Gegar Vaganza ini teruja, apabila kehadiran siri animasi berdurasi sekitar empat minit untuk setiap episod itu menerima reaksi positif daripada penonton.

"Alhamdulillah, respon yang diterima sangat baik. Ramai yang mengatakan bahawa mereka suka dan tak sabar menantikan kehadiran episod seterusnya," katanya.

Muncul dengan idea untuk menerbitkan siri animasi itu, Nabil terinspirasi daripada pelakon, Imuda.

"Saya membesar dalam era 90-an dan ketika itu, banyak siri-siri animasi popular antaranya Usop Sontorian dan Anak-anak Sidek. Saya yakin, ramai juga penonton di luar sana yang meminati siri-siri animasi berkenaan.

"Bagaimanapun, inspirasi utama saya adalah daripada filem lakonan Imuda berjudul Mat Gelap. Dalam filem itu, ada satu babak pendek memaparkan karakternya menjadi watak kartun.

"Dari situ, saya terfikir mungkin saya boleh terbitkan satu karya animasi mengenai diri saya dan mengimbau zaman kanak-kanak saya," katanya.

Walaupun pada awalnya Nabil ingin menerbitkan sendiri karya animasi itu, namun dia bersyukur kerana mendapat kerjasama daripada pihak Astro.

"Saya rasa sangat bertuah dapat menjadi sebahagian daripada bakat-bakat Astro kerana mereka sentiasa memberikan sokongan untuk setiap perancangan saya.

"Kali ini, saya juga mendapat sokongan daripada mereka dan banyak bantuan yang disalurkan Astro untuk saya merealisasikan impian besar dan bermakna ini," katanya.

Nabil berharap agar karya animasinya ituakan diberi peluang untuk ditayangkan di kaca TV dengan durasi yang lebih panjang.

"Saya sangat berharap agar karya animasi ini dapat dibawa ke kaca TV pula. Setakat ini, ia ditayangkan di YouTube dan ramai meraikan kehadirannya.

"Kalau dapat peluang ditayangkan di kaca TV, mungkin durasinya boleh dipanjangkan dan jalan cerita juga dapat dikembangkan lagi.

"Kalau boleh, saya nak bawa karya ini sebaris dengan karya-karya animasi popular tempatan yang lain, sekali gus mewujudkan persaingan sihat di dalam industri animasi tanah air," katanya.

Lu Pikir La Nabil menampilkan lima episod dan jalan ceritanya diinspirasikan daripada kehidupan zaman kanak-kanak Nabil sendiri.

Kini, Nabil dan pasukannya merancang untuk mewujudkan watak-watak 'cameo' membabitkan selebriti tempatan yang juga sahabat-sahabat seperjuangannya dalam industri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 November 2021 @ 6:35 AM