Yonnyboii.
Yonnyboii.
Minda Ranggong


Kuala Lumpur: "Persona adalah kisah perjalanan saya mencari jati diri sebenar menerusi muzik," kata penyanyi Yonnyboii.

Pemenang trofi Album Terbaik Anugerah Industri Muzik 2022 itu mempertaruhkan album terbaharu berjudul Persona yang disifatkan mengandungi variasi pilihan lagu sesuai dengan jalur muzik lebih segar serta moden.

Malah meneruskan tradisi berkolaborasi dengan ramai artis terkenal termasuk rakan seangkatan antaranya Sona One, MeerFly, Killa Driz, Guccimith, Alyph, Tommy King dan Adam E.

"Kesemua mereka memberikan sentuhan berbeza dan mereka memang gila-gila. Saya senang sekali bekerjasama dengan mereka yang memang berbakat," kata Yonnyboii yang mengakui berdepan cabaran besar bagi menyempurnakan album ini.

Menurutnya, dia terpaksa membahagikan masa kerja dengan menumpukan perhatian kepada isterinya yang sarat mengandung.

"Waktu agak suntuk dan isteri saya sedang hamil dan kemudian melahirkan anak kami.

"Saya terpaksa menyelitkan masa untuk memberi perhatian pada isteri dan anak selain memastikan album siap dengan baik. Jadi itulah cabaran yang saya hadapi ketika mengeluarkan album ini," katanya.

Beliau turut berkongsi bahawa dana Geran Kandungan Digital berjumlah RM200,000 dari MyCreative Ventures dan Kementerian Komunikasi Digital membantu beliau untuk berkarya dengan lebih meluas dan menghasilkan album berkualiti.

"Dana tersebut digunakan untuk setiap aspek pembikinan album termasuk penerbitan lagu, video muzik serta perbelanjaan pemasaran dan promosi," katanya.

Yonnyboii yang akan mengadakan pelancaran album itu di Putrajaya esok, berharap Persona bakal disukai semua peminat seperti mana pada album sebelum ini.

Persona sudah berada di semua platform digital sejak 22 September lalu.

Terdahulu, timbul persoalan dalam kalangan ramai apabila media sosial Yonniboi tiba-tiba hilang dan didapati kandungannya sengaja dipadamkan.

Ada berpendapat mungkin cara ini digunakan sebagai gimik pelancaran atau strategi pemasaran untuk album terbabit.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2023 @ 7:09 PM