Wartawan Harian Metro

 

Kuala Lumpur: Pelakon, Diana Danielle menasihatkan individu yang 'tersalah cakap' dan mendakwa Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain kononnya ada 'perangai' yang menjadi punca kepada buli yang dilakukan ke atasnya supaya membuat permohonan maaf dengan ikhlas. 

Dalam hantarannya di Twitter, Diana berkata, permohonan maaf atas kesilapannya 'tersalah cakap' adalah  lebih baik daripada terus membuat video secara langsung untuk menjelaskan sesuatu yang akan membuatkan lebih ramai orang marah. 

"Kepada netizen, kalau dah tersalah cakap, tolonglah jangan buat video secara langsung atau video yang kononnya anda boleh menjelaskan keadaan sebenar mengenai diri anda. 

"Tak perlu jelaskan. Anda cuma perlu buat empat hingga lima baris ayat memohon maaf dengan ikhlas dan mengakui bahawa anda sudah terlajak kata," tulisnya. 

Diana berkata, itu adalah cara terbaik untuk menamatkan isu perbalahan ini dan pada masa sama mengelakkan sebarang provokasi. 

"Sementara isu ini masih panas, tak kisahlah sebanyak mana pun provokasi, anda patut diam. Jangan respon atau buat sebarang hantaran din Instagram Story untuk raih perhatian. Itu cara yang sepatutnya untuk hentikan semua ini," tulisnya. 

Menurut Diana, setiap penjelasan yang dibuat akan memakan diri individu itu sendiri. 

"Orang takkan terima penjelasan anda, bahkan anda akan memarakkan lagi api yang akan memakan diri anda sendiri. 

"Itu belum lagi akan ada netizen yang membuat parodi atau meme dari video secara langsung dan rakaman anda. Itu akan menampakkan anda lebih teruk," tulisnya. 

Terdahulu, Diana memuat naik beberapa hantaran di Instagram Story dan menyelar individu yang menulis ciapan berbaur sokongan kepada pembuli yang menyebabkan kematian Zulfarhan. 

Diana juga antara selebriti yang dilihat menyelar dan mengecam aktiviti buli dalam kalangan remaja. 

Terdahulu, Harian Metro melaporkan enam penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) terlepas hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi atas pertuduhan membunuh Pegawai Kadet Laut UPNM Zulfarhan Osman Zulkarnain, empat tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 November 2021 @ 4:49 PM